Rakyat Sabah ‘tunggu dan lihat’ kesan kemasukan Bersatu
Iklan
PENDUDUK Sabah mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan kemasukan Bersatu, bimbang sejarah mungkin berulang dengan kemasukan parti Semenanjung ke negeri itu.
Tanggapan pertama penduduk negeri itu yang bukan ahli mana-mana parti kebanyakannya negatif, kerana pelancaran Bersatu Sabah mengingatkan mereka tentang kenangan pahit dicengkam politik parti Semenanjung ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad di bawah Barisan Nasional.
Ahli perniagaan Wilson Chong, 48, berkata kemasukan Bersatu mengingatkannya tentang cara Umno masuk ke Sabah pada 1990, dirancang Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri dan presiden Umno.
Pada Pilihan Raya Negeri 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 kerusi berbanding 23 dimenangi BN diterajui Umno. Tetapi, BN berjaya merampas pentadbiran negeri apabila beberapa wakil rakyat PBS keluar parti untuk menubuhkan parti baharu yang jadi sekutu BN.
“Rasanya seperti Umno datang sekali lagi,” kata Chong.
“Saya tak percaya pemimpin Bersatu tidak ada niat untuk jadi parti dominan di sini. Mereka mahu ambil alih, seperti Umno buat pada 1990an.
“Kami mahukan autonomi. Kami mahu Sabah ditadbir rakyat Sabah,” katanya yang berasal dari Kinarut.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Bersatu berjanji tidak akan masuk Sabah sekiranya Pakatan Harapan menakluk Putrajaya kerana Warisan adalah sekutunya.
Tetapi, janji itu dilanggar selepas lima ahli Parlimen dan sembilan Adun Umno Sabah keluar parti dan menjadi wakil Bebas pada Disember.
Pada 15 Februari lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti itu akan masuk ke Sabah “untuk mengukuhkan kerajaan Sabah”.
Majlis pelancaran hari ini dijangka dihadiri 30,000 orang yang akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang.
Kemasukan Bersatu ke Sabah secara automatik memberinya lapan Adun, daripada 60 kerusi dalam DUN Sabah.
Kelapan-lapan Adun tersebut adalah bekas wakil rakyat Umno Sabah yang keluar parti Disember lalu, menjadi wakil Bebas sementara menanti Bersatu dilancarkan di Sabah.
Ahli akar umbi Warisan, bagaimanapun, mengambil sikap tunggu dan lihat, yakin parti mereka mempunyai wakil mencukupi dalam DUN untuk menangkis sebarang cabaran dilakukan Bersatu.
Pemimpin akar umbi Penampang Ben Michaels, 50, berkata Warisan mempunyai 31 kerusi dalam DUN Sabah dibawah teraju Presiden Mohd Shafie Apdal yang juga ahli Parlimen Semporna.
Kerusi lain dalam kerajaan negeri dipimpin Warisan dipegang DAP (enam), PKR (empat) dan Upko (empat). Manakala pembangkang menguasai tujuh kerusi menerusi Parti Solidariti Tanah Airku (dua) dan PBS (lima).
“Sukar jika Bersatu mahu ambil alih kuasa,” kata Michaels.
Seorang lagi ahli Warisan yang juga bekas ketua penerangan Honorsius Bosuin berkata kebanyakan ahli parti masih menganggap kemasukan Bersatu sebagai langgar janji, tetapi akan terus menyokong Shafie selaku presiden.
Shafie tidak melakukan penentangan hebat berkaitan kemasukan Bersatu, sebaliknya berkata tidak ada apa boleh dilakukan Warisan jika ada parti politik luar mahu menubuhkan cawangan di Sabah.
“Kami masih menganggapnya sebagai langgar janji, tetapi bagaimana kami akan bekerjasama dengan Bersatu akan bergantung kepada Shafie.
“Kami serahkan perkara ini kepada presiden,” kata Honorsius. – 6 April, 2019.