Pakatan gesa sidang khas Parlimen bahas pertemuan Najib-Trump
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) menggesa sidang khas Parlimen selama dua hari selepas Perdana Menteri Najib Razak pulang dari Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan tentang pertemuan “enam minitnya” dengan Presiden Donald Trump.
Pemimpin PH berkata, Najib perlu menjelaskan kepada 30 juta rakyat Malaysia mengapa beliau berkelakuan seperti pemimpin negara ditakluk “imperialis AS” beberapa hari selepas menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-60.
“Presiden Trump juga tidak mencuba untuk berpura-pura Malaysia akan mendapat sesuatu sebagai balasan contohnya seperti menjanjikan ‘potensi’ pelaburan atau meningkatkan import barangan buatan Malaysia atau pengecualian visa untuk melancong bagi rakyat Malaysia ke AS,” kata Ketua Penerangan PH Tony Pua pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.
“Kami terkejut Najib memajakkan aset negara ‘untuk memperkukuhkan ekonomi AS’ untuk agenda peribadinya ketika wang itu boleh digunakan untuk menyelamatkan ekonomi negara yang sedang merosot.”
Sidang media itu turut dihadiri Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin dan Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin.
Mereka mengkritik tindakan Najib mengumumkan pelaburan AS$24 bilion (RM100 bilion) di AS semasa bertemu Trump dalam lawatan 3 harinya yang dilihat sebagai usaha membantu ekonomi terbesar dunia itu ketika ekonomi Malaysia sendiri memerlukan pelaburan dari luar.
“Apa yang kita dapat sebagai balasan ialah ‘Terima kasih banyak-banyak. Kami menghargainya’,” kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan setiausaha publisiti DAP.
Sementara Sim dari PKR berkata, kebiasaannya apabila perdana menteri ke luar negara, Malaysia akan cuba untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI).
“Kita tahu bahawa sekarang rakyat tertanya-tanya apakah yang kita dapat sebagai rakyat Malaysia?
“Biasanya kalau ketua negara pergi luar negara seperti China dan kemana-mana kita cuba dapatkan FDI terutamanya dari negara dunia pertama,” katanya yang juga ahli Parlimen Bayan Baru.
Katanya, apabila Najib dari “negara dunia ketiga” pergi ke AS dan melabur untuk menjadikan ekonomi negara itu “hebat kembali” ia merupakan satu lawak yang terbesar.
Dzulkefly dari Amanah mempersoalkan apa sebenarnya dibincangkan Najib dan Trump dalam pertemuan “empat mata” di antara kedua-dua pemimpin itu.
“Kalau kita tanya apabila Trump mendapatkan berbilion wang pembayar cukai Malaysia, berapa dan apakah yang Malaysia dapat?
“Memang tidak ada perolehan-perolehan kepada Malaysia berbanding berbilion ringgit yang dilaburkan,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Membuka pertemuannya dengan Trump semalam, Najib berkata beliau berkunjung ke Washington dengan tiga cadangan khusus “untuk mengukuhkan ekonomi AS” iaitu menambah pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines daripada Boeing serta melabur dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembangunan infrastruktur negara itu serta meningkatkan pelaburan Khazanah Nasional di negara itu.
Urus niaga dengan Boeing yang pada asalnya lapan pesawat Dreamliners 787 bernilai AS$2.2 bilion kemudiannya bertukar jadi komitmen AS$10 bilion (RM42 bilion) untuk jet dan enjin jet daripada General Electrics. – 14 September, 2017.