Iklan

Bersatu tak akan jatuhkan Warisan, ulang Dr Mahathir

Jason Santos6 years ago6th Apr 2019Berita
Final pm bersatu010
Kemasukan Bersatu ke Sabah sebagai usaha untuk mengukuhkan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan, kata Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 April, 2019.
Iklan

DR Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan kemasukan Bersatu ke Sabah bukan cubaan untuk menggulingkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pengerusi Bersatu itu berkata menjelaskan bahawa pemimpin Bersatu di negeri itu tidak akan meminta sebarang jawatan dalam Kabinet tetapi akan menumpukan perhatian bagi mengukuhkan kerajaan negeri di bawah Warisan.

“Kita tidak akan mengambil alih kerajaan negeri. Kita akan menyokong mereka.

“Kita tidak mahu sebarang jawatan dalam kerajaan negeri. Kita akan bekerja dengan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bersatu Sabah di Penampang, hari ini.

Perdana menteri berkata demikian mengulas dakwaan bahawa Bersatu merancang untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Turut berbangkit adalah kebimbangan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti Warisan yang mungkin menyertai Bersatu.

Warisan kini mempunyai 31 kerusi, DAP enam kerusi, PKR (dua) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) memiliki empat kerusi dalam Dun.

Bersatu hari ini melancarkan pembukaan parti itu di Sabah selepas mencapai persetujuan dengan parti Warisan yang memimpin kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 April, 2019.

Bersatu mempunyai sembilan kerusi dalam Dun pada masa ini selepas Adun bekas Umno meninggalkan parti mereka untuk bersama parti Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata walaupun Warisan bukan sebahagian Pakatan Harapan, mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan ahli parti itu.

Beliau berkata kerajaan PH juga melantik tiga pemimpin Warisan menjadi sebahagian Kabinet Persekutuan.

Ditanya tentang ketiadaan pemimpin Warisan pada majlis pelancaran Bersatu di Sabah, Dr Mahathir berkata beliau telah bertemu dengan mereka termasuk presiden parti Mohd Shafie Apdal sebaik tiba di lapangan terbang.  – 6 April, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan