Putrajaya komited pulihkan hak Sabah, Sarawak, kata Dr Mahathir
Iklan
PUTRAJAYA tetap komited dan ikhlas dalam memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan pindaan Perkara 1 (2).
Beliau menafikan bahawa pindaan yang dicadangkan hanyalah kosmetik seperti yang didakwa oleh pengkritik, di samping mengatakan bahawa kerajaan persekutuan berikrar untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami iktiraf MA63. Kami akan berusaha untuk memulihkan hak kedua-dua negeri di Malaysia timur,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bersatu Sabah di Penampang hari ini.
Pembacaan pertama pindaan perlembagaan - yang meletakkan Sabah dan Sarawak pada kedudukan setara dengan negara-negara bersekutu Malaya - menimbulkan isu, selepas ahli-ahli politik Sabah mendakwa, antara lain, sebagai “satu pemilihan kata yang tidak tepat” oleh Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong .
Pindaan yang dicadangkan itu telah mengesampingkan takrifan negeri-negeri Malaya dan juga negeri-negeri Borneo di samping menunjukkan bahawa tidak ada perubahan dalam fungsi entiti persekutuan dan negeri.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, negeri itu menentang pindaan perlembagaan yang dibentangkan di Parlimen minggu ini kerana permintaan utamanya diabaikan.
Abang Johari turut menambah bahawa pandangan negeri bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan mengenai takrif “persekutuan”, yang katanya harus dipinda dengan Perkara 1(2), tidak diendahkan oleh Putrajaya.
Namun, beliau tidak mengatakan sama ada ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai beliau akan membantah terhadap rang undang-undang itu.
GPS mempunyai 18 kerusi di Parlimen dan Pakatan Harapan memerlukan sokongannya bagi memenuhi undian 145 orang ahli atau majoriti dua pertiga bagi membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan terhadap Perkara 1(2) bertujuan untuk memulihkan hak-hak Sarawak dan Sabah sebagaimana yang termaktub dalam MA63. – 6 April, 2019.