Iklan

Muzik punk tidak promosi kebencian, kata skinhead Sabah

Jason Santos6 years ago7th Apr 2019Berita
Skin head002 copy
Budaya punk global itu menentang perkauman dan anti dadah, tidak boleh disamakan dengan kumpulan tempatan yang tersasar apabila terpengaruh dengan unsur perkauman dan diterajui pelampau Ketuanan Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 April, 2019.
Iklan

SUSULAN terbongkar beberapa kumpulan skinhead Semenanjung yang mengagungkan ideologi neo-Nazi dan xenofobia, kelompok skinhead di Sabah menafikan yang mereka adalah pelampau Ketuanan Melayu yang fasis.

Sebuah festival muzik di Semenanjung, menampilkan kumpulan “Ketuanan Melayu” seperti Total Distrust dan Boot Axe baru-baru dibatalkan selepas mendapat bantahan.

Seorang skinhead Sabah berkata, budaya punk global itu menentang perkauman dan anti dadah, tidak boleh disamakan dengan kumpulan tempatan yang tersasar apabila terpengaruh dengan unsur perkauman dan diterajui pelampau Ketuanan Melayu.

Menurut beberapa skinhead yang ditemui The Malaysian Insight, mereka hanyalah orang “biasa” yang mempunyai pekerjaan tetap termasuklah sebagai doktor, guru, eksekutif dan pereka bentuk di sebalik jaket dan seluar kulit serta kepala botak mereka.

“Semua kami ada komitmen- bil untuk dibayar, anak-anak untuk dibesarkan. Kami tak keluar buat masalah,” kata Johnny Silva, 38.

Pergerakan punk di Sabah bermula agak lewat- pada awal 2000- disebabkan kedai muzik negeri itu mula mengedarkan album genre itu pada 1990an.

Punk sebenar tidak bersifat perkauman dan rasis, pergerakan muzik global itu menuntut sikap kemanusiaan yang lebih besar walaupun mungkin sedikit berbeza dengan arus perdana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 April, 2019.

Mohd Izham Rahman, 32, berkata ada beberapa kumpulan skinhead di Sabah yang mempunyai pengikut setia dan membuat persembahan di bandar-bandar besar negeri itu seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Di persembahan sebegitulah, beliau menemui muzik kegemarannya. Izham hanya berusia 12 tahun apabila menemani abangnya hadir ke persembahan tersebut. Beliau kemudiannya menubuhkan kumpulannya sendiri, terdiri daripada empat orang dengan beliau sebagai penyanyi.

Menjejak dewasa dan bekerja sebagai seorang doktor, beliau masih meneruskan minatnya.

Katanya, skinhead sering disalah anggap, dan masyarakat sebenarnya “xenophobe sebenar”.

“Orang tak pernah nak faham (kami), mengapa kami suka apa yang kami buat. Ada yang benci musik dan fesyen kami.” – 7 April, 2019.

Di sebalik kepala botak dan pakaian mereka, skinhead adalah manusia biasa dengan pekerjaan tetap dan tanggungjawab sendiri, bezanya hanyalah muzik diminati mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 April, 2019.

Iklan
Iklan