Putrajaya jujur umum hibah Tabung Haji rendah, kata Anwar
Iklan
KEJUJURAN Putrajaya adalah sebab mengapa Tabung Haji mengumumkan hibah yang rendah, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata, kerajaan semasa diterajui Dr Mahathir Mohamad hanya ada dua pilihan; sama ada menipu akaun untuk memberikan hibah lebih tinggi seperti dilakukan pentadbiran Barisan Nasional atau memenuhi janjinya untuk memulihkan Tabung Haji.
“Ada orang akan kata di bawah Umno, saya dapat enam peratus hibah, tetapi sekarang (saya hanya dapat) satu peratus. Ada orang yang fikir begitu. Kita ada pilihan sekarang.
“Kami boleh tipu akaun supaya orang gembira atau penuhi janji (untuk pulihkan Tabung Haji),” katanya ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil di Rantau malam tadi.
Jumaat lalu, TH mengumumkan hibah sebanyak 1.25% yang diterjemahkan kepada bayaran RM913 juta dividen kepada pendepositnya untuk tahun kewangan 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata rancangan penstrukturan semula yang dilaksanakan adalah bukti komitmen kerajaan untuk menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pencarumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan TH dan CEO Zukri Samat berkata hibah yang diumumkan adalah terendah dalam sejarah, tetapi yakin kedudukan kewangan TH akan kembali pulih pada tahun mendatang.
Anwar turut menyalahkan pentadbiran terdahulu kerana mengamalkan perakaunan kreatif dan urus tadbir yang lemah dalam menguruskan TH.
“Pada zaman Umno (memerintah) tidak rugi, (kerana) mereka tak tunjuk akaun (sebenar),” katanya.
DUN Rantau mempunyai 55% pengundi Melayu, India (26%) dan Cina (18.5%).
Ia akan diadakan 13 April ini, menampilkan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, calon BN Mohamad Hasan, dan dua calon Bebas R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 7 April, 2019.