Iklan

Agenda Umno-PAS boleh cetus ketegangan kaum, kata Anwar

Timothy Achariam6 years ago7th Apr 2019Berita
Ph ceramah night 201900406 afif 05
Agenda Melayu Islam diperjuang Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan mengatasi perjuangan Pakatan Harapan, yang mahukan keadilan untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan Melayu, Islam dan Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 April, 2019.
Iklan

RAKYAT perlu bimbang dengan agenda Umno dan PAS kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum, kata Anwar Ibrahim.

Menurutnya, agenda Melayu Islam kedua-dua parti itu tidak boleh dibiarkan mengatasi perjuangan Pakatan Harapan, yang mahukan keadilan untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan Melayu, Islam dan Raja-Raja.

“Jangan biarkan perjuangan kita tersasar hingga cetuskan ketegangan antara kita. Jangan biarkan naratif Umno dan PAS tentukan landskap politik kita,” katanya pada ceramah di Taman Kelab Tuanku di Rantau malam tadi.

Anwar turut mengulangi jaminan kepada pengundi Melayu yang PH akan terus menjaga dan mempertahankan hak Melayu, Islam dan Raja-Raja.

“Saya tidak akan bertolak ansur bila sampai soal Melayu dan Islam. Saya tak akan memihak kepada India dan Cina,” katanya.

“Orang India dan Cina perlu terima hak Melayu, Raja-Raja Melayu dan kedudukan Bahasa Melayu, tetapi kita juga perlu terima hak mereka. Apa yang penting adalah perjuangan kita tak berubah.”

Presiden PKR itu turut menggesa pengundi memberikan sokongan kepada calon PH, Dr S Streram dan memberi jaminan tidak ada masalah memilih calon orang India sebagai wakil rakyat mereka.

“Menteri besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun) orang Islam, perdana menteri sekarang orang Islam, persoalan kedudukan dan hak Melayu dan Islam dijamin di peringkat negeri dan persekutuan.

“Jadi jangan bimbang. Tak salah pilih calon bukan Melayu. Ia akan membantu kita mentadbir masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

DUN Rantau mempunyai 55% pengundi Melayu, India (26%) dan Cina (18.5%).

Ia akan diadakan 13 April ini, menampilkan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN Mohamad Hasan, dan dua calon Bebas R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 7 April, 2019.

Iklan
Iklan