Kempen PRK Rantau masuk kemuncak, BN jangka menang majoriti 1,500
Iklan
KEMPEN Pilihan Raya Kecil Rantau mula masuk kemuncaknya, dan jelas sekali Barisan Nasional masih mendahului Pakatan Harapan kerana rekod kerja dan personaliti calonnya, Mohamad Hasan.
Pegawai kempen BN mendakwa berdasarkan sambutan diberikan lebih 20,000 pengundi Rantau sejak minggu lepas, pembangkang yakin menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,500 pada 13 April ini.
Tetapi, aktivis PH masih belum berputus asa. Mereka mengharapkan pakatan pemerintah dapat meraih banyak undi di kawasan majoriti pengundi India dan Cina yang membentuk 46% keseluruhan undi.
Aktivis berkata strategi mereka adalah memastikan sekurang-kurangnya 80% undi India dan Cina serta 15 hingga 20% undi Melayu diperolehi calon PH. Pengundi Melayu membentuk 54% daripada jumlah keseluruhan pengundi Rantau.
Disebabkan inilah, sejak minggu lepas, PH menghabiskan banyak masa melakukan lawatan rumah ke rumah dan mengadakan ceramah kecil-kecilan di kawasan kejiranan majoriti India. Mesej mereka mudah, selepas berdekad Negeri Sembilan diperintah BN, masyarakat India masih terpinggir dan tertindas.
Walaupun mempunyai banyak kelebihan, Mohamad yang juga pemangku pengerusi BN tidak berdiam diri. Beliau berhabis-habisan berkempen untuk memastikan beliau mendapat lebih 90% undi Melayu disamping meraih sokongan pengundi India dan Cina.
“Mat Hasan (Mohamad) tak ambil mudah. Beliau buat lawatan pintu ke pintu untuk mengingatkan pengundi apa yang beliau sumbangkan selama tiga penggal jadi menteri besar,” kata Mohd Azlan Zainal dari Ilham Center.
“Beliau dalam tekanan hebat untuk memberikan kejayaan besar dan beliau perlu memastikan beliau dapat semua undi Melayu dan (sebahagian) undi Cina dan India,” kata Azlan.
Ilham Center membuat tinjauan sentimen pengundi sejak kempen PRK Rantau bermula secara rasmi pada 30 Mac.
Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau, yang dipegangnya sejak tiga penggal lalu, menentang calon PH Dr S Streram dan dua calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lalu, Mohamad menang tanpa bertanding selepas Streram dilarang menghantar borang penamaan calon oleh pengurus pilihan raya.
Mahkamah Pilihan Raya kemudiannya membatalkan keputusan DUN Rantau selepas mendapati pegawai SPR terkhilaf melarang Streram.
Rantau bersama-sama DUN Paroi, Kota dan Chembong, membentuk Parlimen Rembau yang dimenangi Khairy Jamaluddin pada PRU14.
Kawasan itu mempunyai 20,926 orang pengundi dibahagikan kepada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM). Lima daripadanya adalah kawasan super majoriti Melayu (lebih 40%), empat majoriti mudah Melayu (50%-70%), selebihnya adalah kawasan campuran.
Berdasarkan data PRU14 pengundi di Rantau untuk Parlimen Rembau, PH memperolehi 8,210 (48.06%) undi berbanding BN yang mendapat 7,798 (45.65%), PAS pula hanya meraih 777 undi atau (4.55%).
PH menang lima daripada 14 PDM, manakala selebihnya dimenangi BN. Selepas mengambil kira kerjasama PAS-BN, PRK Rantau boleh dimenangi BN dengan 365 undi.
Pakatan masih ada harapan, BN tak duduk selesa
Walaupun majoriti pengundi bukan Melayu Rantau menyokong PH pada PRU14, tidak boleh diandaikan yang mereka akan berbuat tindakan sama kali ini, kata Azlan lagi.
“PH perlukan sekurang-kurangnya 65% penyokong bukan Melayu keluar mengundi untuk berpeluang menang,” katanya lagi.
Untuk mencapai matlamat ini, PH menggerakkan nama besarnya seperti Presiden PKR yang juga bakal perdana menteri Anwar Ibrahim untuk turun berkempen di Kuala Sawah dan Bandar Ekar, dua kawasan ramai pengundi India dan Cina.
“Kami ada pasukan khas untuk pantau pusat daerah mengundi dan ajak mereka keluar mengundi,” kata R Thiruchelvam, pengurus kempen Streram.
“Kami berhubung dengan hampir semua pengundi luar. Ramai pengundi muda yang bersetuju untuk balik mengundi. Sekurang-kurangnya 70% akan balik mengundi dan kami berharap kepada mereka.”
PH juga akan memberi tumpuan kepada pengundi Melayu walaupun kebanyakan mereka menyokong BN pada PRU14, kata Thiruchelvam lagi.
“Peluang (Melayu) berubah kepada PH sangat tinggi. Tetapi mereka berdiam diri,” katanya, menambah yang Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga sudah melawat kubu kuat Umno di Rantau.
“Masalahnya kita tak pernah war-warkan apa yang kita buat kepada orang Melayu dan perlaha-lahan kita sedang buat sekarang. Misalnya, Menteri Besar (Aminuddin Harun) sudah menaikkan gaji imam dari RM200 kepada RM400.”
Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Muhd Sufian Maradzi berkata matlamat BN menang dengan majoriti 1,500 kali ini jauh lebih rendah berbanding yang dimenangi Mohamad pada PRU13.
“Sekurang-kurangnya yang kita sasarkan sekarang ini lebih 1500 majoriti. Sasaran ini memang sangat rendah daripada majoriti yang Tok Mat dapat dalam PRU13, (iaitu) 3,000 lebih.
“Ini disebabkan komposisi kaum sudah berbeza dan juga keputusan PRU14 di peringkat Parlimen Rembau, KJ kalah 400 lebih di DUN Rantau ini.
“Kita tidak mahu terlalu yakin, risau jentera tidak mahu bekerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sufian juga menyifatkan BN boleh menang di Rantau disebabkan populariti Mohamad dan pelbagai isu yang melanda kerajaan Persekutuan PH. – 7 April, 2019.