Iklan

Apakah MAS memerlukan pesawat itu, pemimpin Pakatan soal Najib

Amin Iskandar7 years ago14th Sep 2017Berita
Unnamed
Pemimpin Pakatan Harapan hari ini mempersoalkan perlukah MAS membeli boieng sedangkan syarikat penerbangan itu sedang mengalami kerugian dan membuang pekerjanya.– Gambar The Malaysian Insight, 14 September, 2017.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) mempersoalkan apakah Malaysia Airlines Berhad memerlukan pesawat yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak untuk dibeli semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata, tidak berapa lama sebelum ini pada Jun 2016 Malaysia Airlines baru sahaja memberhentikan 6000 pekerja mereka dalam pelan pemulihan syarikat itu.

“Sebelum itu 5000 pekerja diberhentikan dan sebelum itu lagi 12,000 pekerja diberhentikan.

“Ideanya ialah untuk mengurangkan kos dan mendatangkan keuntungan kepada syarikat itu kembali,” kata Rais pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Rais berkata, untuk mengurangkan kos, Malaysia Airlines juga menjual pesawat-pesawat mereka baru-baru ini.

“Dengan latarbelakang ini semua, apakah kita memerlukan pesawat baru yang bakal dibeli Najib pada ketika ini?

“Soalan penting lain yang perlu ditanya ialah bagaimana mereka akan mendapatkan dana untuk membeli pesawat ini,” soalnya.

Semasa pertemuannya dengan Trump di White House semalam, Najib membuat tawaran bagi Malaysia Airlines untuk membeli pesawat Boeing berharga AS$10 bilion (RM42 bilion).

Najib berkata Malaysia berniat untuk menambah pesawat Boeing yang akan dibeli Malaysia Airlines.

“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat,” kata Najib.

Rais mempersoalkan apakah kerajaan akan mengeluarkan bon untuk membiayai pesawat baru dari AS itu.

“Apakah sukuk jaminan kerajaan akan dikeluarkan. Jika mereka tidak boleh bayar apa akan terjadi?

“Apakah akan dilakukan bail out lagi? Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu kita tanya,” katanya.

Rais berkata, lawatan Najib ke AS itu merupakan “peluang bergambar” termahal di dunia.

“Ini bermakna lawatan ke AS ini merupakan peluang bergambar termahal untuk politik domestik dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri pemimpin PH lain seperti Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka turut berpakaian “ala Trump” dan memegang sepanduk untuk mengejek pertemuan Najib dengan Trump dalam lawatan tiga hari perdana menteri ke AS itu.

Membuka pertemuannya dengan Trump semalam, Najib berkata beliau berkunjung ke Washington dengan tiga cadangan khusus “untuk mengukuhkan ekonomi AS” iaitu menambah pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines daripada Boeing serta melabur dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembangunan infrastruktur negara itu serta meningkatkan pelaburan Khazanah Nasional di negara itu.

Urus niaga dengan Boeing yang pada asalnya lapan pesawat Dreamliners 787 bernilai AS$2.2 bilion kemudiannya bertukar jadi komitmen AS$10 bilion (RM42 bilion) untuk jet dan enjin jet daripada General Electrics. – 14 September, 2017.

Iklan
Iklan