Dr M betul, saya boleh jadi PM lebih baik dari Najib, kata Anwar
Iklan
ANWAR Ibrahim bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mampu menjadi perdana menteri lebih baik daripada Najib Razak.
Anwar berkata Najib akan terpahat dalam sejarah sebagai perdana menteri paling teruk berdasarkan rekodnya dan caranya menguruskan kewangan negara.
“Dr Mahathir betul,” katanya kepada pemberita hari ini.
Anwar mengulas pandangan yang disuarakan pada sesi temu bual New Straits Times hari ini bersama Dr Mahathir yang mengatakan presiden PKR itu mampu menjadi pemimpin lebih baik berbanding Najib.
“Saya membaca wawancara itu dan berterima kasih kepada Mahathir,” katanya.
Dalam temu bual hari ini, Dr Mahathir ditanya mengapa beliau membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Anwar selepas mengatakan Anwar tidak layak menjadi pemimpin sebelum ini.
“Itu sebelum ini. Ya, saya ada menyatakannya. Tetapi antara Najib dan Anwar, saya rasa Najib adalah pemimpin lebih teruk berbanding Anwar. Pemimpin yang teruk.
“Saya rasa, untuk Anwar menggantikan seseorang seperti Najib lebih diterima berbanding membiarkan Najib terus mentadbir, jadi saya membuat keputusan saya akan bekerjasama dengan Anwar, tidak kira apa pun saya pernah katakan terhadapnya sebelum ini, apa sahaja beliau pernah katakan terhadap saya sebelum ini.
“Saya merasakan kerjasama kami adalah lebih penting, dalam usaha untuk menggantikan Najib, daripada kami bertelingkah kerana saya tahu jika kami tidak bekerjasama, Najib akan menjadi perdana menteri seterusnya dan ia merupakan bencana kepada negara,” kata Dr Mahathir pada sesi wawancara itu.
Anwar kini membantu kempen untuk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang akan diadakan pada 13 April ini.
PRK itu menyaksikan saingan empat penjuru antara calon PH dari PKR, Dr S Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan (BN-Umno) dan dua calon bebas, R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 7 April, 2019.