Iklan

Kumpulan desak pecat Saifuddin, peguam negara

Chan Kok LeongBernard Saw6 years ago8th Apr 2019Berita
Tommy thomas protest 080419 tmiseth 01
Sekumpulan 20 orang mengadakan bantahan di depan pagar Parlimen pagi tadi, mendesak Saifuddin Abdullah dan Tommy Thomas dipecat kerana gagal menangani isu-isu seperti Statut Rom dan ICERD. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 April, 2019.
Iklan

MENTERI Luar Saifuddin Abdullah dan Peguam Negara Tommy Thomas perlu dipecat kerana gagal menangani isu-isu seperti Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata kumpulan yang ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN).

Kumpulan yang diketuai oleh bekas Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii, mengadakan protes di luar pagar Parlimen pagi tadi. Mereka berarak ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum.

“NGO dan rakyat Malaysia hilang keyakinan terhadap Saifuddin dan Thomas kerana mereka gagal mempertahankan kedaulatan Perlembagaan.

“Dua insiden ini bertentangan dengan rakyat Malaysia dan Perlembagaan,” kata Jazlan yang mengetuai kumpulan disertai 20 orang.

Beliau merujuk kepada hasrat Putrajaya untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Selepas mendapat bantahan, Malaysia mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD dan menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Memorandum kumpulan itu menyebut ratifikasi ICERD akan menjerumuskan rakyat Malaysia kepada “kehidupan sosial tanpa batasan”.

Mengenai Statut Rome pula, kumpulan itu berkata “polemik” tidak akan wujud jika kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menyertainya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan penarikan diri dari Statut Rom pada Jumaat lalu berkata ia disebabkan “kekeliruan politik” yang dicetuskan oleh pihak yang mempunyai kepentingan. – 8 April, 2019.

Iklan
Iklan