Iklan

Mahkamah tolak petisyen cabar kemenangan kerusi Sipitang

Jason Santos6 years ago8th Apr 2019Berita
Yamani hafez musa 070119 tmiseth 04
Kerusi Parlimen Sipitang kekal dimenangi Yamani Hafez Musa, anak lelaki bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan anak saudara Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.
Iklan

MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini menolak petisyen untuk mencabar keputusan kerusi Parlimen Sipitang pada pilihan raya umum tahun lalu.

Hakim Azahari Kamal Ramli berkata petisyen itu ditolak kerana ia menyalahgunakan proses susulan pemohon petisyen iaitu ahli Parti Warisan Sabah, Noor Hayaty Mustapha tidak dapat mengemukakan dokumen diperlukan.

“Mahkamah juga mendapati saksi dan keterangan mereka tidak sedia dan tidak difailkan ke mahkamah,” kata hakim.

Dengan keputusan mahkamah hari ini, kerusi itu kekal milik Yamani Hafez Musa, anak lelaki bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan anak saudara Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.

Yamani memenangi kerusi itu di bawah tiket Barisan Nasional tetapi laporan baru-baru ini mengatakan beliau keluar Umno dan bercadang menyertai Bersatu.

Noor Hayaty diwakili Chung Jiun Dau, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Melani Tan Mey Yann, sementara Jayen Marimuthu, Tengku Fuad Tenku Ahmad, Redzuan Borhan, Rizuan Akle dan Azheir Farhan Arisin mewakili Yamani.

Tiga hari lalu, pempetisyen mengambil masa empat jam di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Kota Kinabalu untuk memeriksa semua dokumen undi, termasuk borang 13 dan 14, membabitkan 67 kotak undi digunakan pada PRU14.

Tiada maklumat didedahkan susulan pemeriksaan itu.

Peguam Tengku Fuad yang mewakili Yamani berkata pempetisyen juga memohon untuk penangguhan tetapi mahkamah tidak membenarkannya. – 8 April, 2019.

Iklan
Iklan