Kenapa sekarang Pemuda Umno minta RCI Tabung Haji, soal Azmin
Iklan
MENGAPA baru sekarang Pemuda Umno mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat tuduhan dan salah laku pengurusan Tabung Haji sedangkan masalah itu tercetus ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), soal Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
“Saya bingung kenapa mereka (Pemuda Umno) tidak minta RCI sebelum Mei 2018?,” katanya ketika berceramah untuk kempen PRK Rantau di Bilik Gerakan DAP, malam tadi.
Azmin berkata Bank Negara Malaysia sudah memberi amaran ketika pentadbiran BN berkenaan salah urus kewangan.
“Bila kami (kerajaan PH) ambil pendirian terhadap isu itu, kini mereka mahu jadikan ia satu perjuangan pula,” katanya.
Azmin berkata kerajaan mahu berlaku jujur pada pendeposit Tabung Haji tentang masalah yang melanda agensi itu.
Beliau berkata ini kerana beberapa tahun lalu, aset Tabung Haji kurang berbanding liabiliti tetapi pentadbiran sebelum ini masih membayar hibah.
“Ini percanggahan langsung dengan akta Tabung Haji,” katanya.
“Hibah hanya perlu dibayar jika ada keuntungan, dalam kes ini pengurusan Tabung Haji membayar hibah ketika ada penurunan dalam nilai aset,” katanya.
“Mereka mungkin menggunakan duit pendeposit untuk membayar hibah.”
Azmin berkata kerajaan memilih untuk terbuka dan jujur bagi melindungi pendeposit.
“Pendeposit dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Tetapi berkenaan hibah, kami perlu jujur, kami tidak dapat bayar lebih daripada yang diumumkan,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak RCI ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan kerajaan bahawa antara lain, Tabung Haji kerugian RM10 bilion. – 9 April, 2019.