Iklan

Sekolah tahfiz terbakar bukan milik Amy Search

Amin Iskandar7 years ago14th Sep 2017Berita
Amy search tahfiz
Penyanyi Amy Search (tengah) bergambar bersama pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam satu gambar dimuat naik ke laman sosial sekolah tahfiz itu. – Gambar Facebook, 14 September, 2017.
Iklan

PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pagi ini sehingga mengorbankan 23 nyawa bukanlah milik penyanyi rock terkenal Amy Search biarpun ada sekeping foto beliau bergambar dengan pelajar di situ.

Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata pelajar-pelajar tahfiz berkenaan sebenarnya pernah dua kali datang ke rumahnya menghadiri jemputan majlis kesyukuran.

“Dulu masa saya duduk di Kota Damansara mereka ada datang. Apabila saya pindah ke Shah Alam pun saya jemput mereka juga,” kata Amy dengan nada sebak, mengaku sedih apabila mendapat tahu berita kebakaran itu.

“Saya ucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat. Apabila mendapat tahu mengenai kejadian itu saya jadi ‘speechless’,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Amy, sekolah tahfiz miliknya Al-Bayan School of Quran & Hadith terletak di Sungai Buloh, Selangor dan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Amy berharap kejadian malang ini jadi pengajaran kepada semua pihak termasuk pengurusan sekolah tahfiz untuk mengambil serius dan mengutamakan soal keselamatan.

Beliau berkata kejadian ini juga jadi pengajaran dan peringatan kepada dirinya sendiri sebagai pemilik sekolah tahfiz biarpun selama ini beliau selalu menasihati guru di sekolahnya agar tidak mengabaikan aspek keselamatan murid.

“Kadang-kadang mereka guna kabel elektrik atau sambungan plug yang tidak cukup bagus, dan apabila banyak digunakan cepat jadi panas dan mudah terbakar,” katanya.

Amy dan kumpulan Search merupakan kumpulan muzik rock terkemuka tanah air yang terkenal dengan lagu yang pernah jadi siulan ramai seperti Isabella, Gadis Misteri, Fantasia Bulan Madu dan Teguh.

Sekurang-kurangnya 23 terbunuh dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Qu’ran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal hari ini, kebanyakannya berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Enam mangsa berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur, tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian pada jam 5:52 pagi menyifatkan kebakaran itu sebagai “marak”, dan ia berjaya dikawal dalam masa 25 minit. 15 mayat kemudiannya ditemui di tingkat tiga bangunan itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pusat tahfiz yang terbakar di Keramat hari ini tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain sudah diubah suai daripada struktur asal.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz itu bulan lepas, namun masih belum diluluskan. – 14 September, 2017.

Iklan
Iklan