Pengurusan Felda 'menipu, tidak bertanggungjawab' bakal didedahkan
Iklan
KERTAS putih Putrajaya berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mendedahkan bagaimana bekas pengurusannya melakukan “penipuan dan tidak bertanggungjawab” sehingga menyebabkan ia terjebak dalam hutang yang serius, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Kertas putih yang akan dibentangkan di Parlimen esok turut mencadangkan rancangan pemulihan baharu, mampan dan jangka panjang untuk Felda, kata Azmin.
“Ia (kertas putih) akan membentangkan keadaan sebenar Felda,” katanya malam tadi selepas menghadiri ceramah di Rantau menjelang pilihan raya kecil (PRK) pada Sabtu ini.
“Para peneroka perlu memahami bahawa bekas pengurusan (Felda) melakukan penipuan dan tidak bertanggungjawab.”
Azmin berkata, audit forensik oleh badan profesional bebas sudah dijalankan dan penemuannya akan didedahkan dalam Kertas Putih.
Beliau berkata model perniagaan Felda menyimpang daripada objektif asalnya dan memerlukan kertas putih merancang pemulihan jangka panjang.
“Kita mesti mempunyai rancangan pemulihan jangka panjang untuk Felda kerana ia sudah menyimpang jauh daripada objektif asalnya,” kata beliau.
Kabinet bermesyuarat pada Jumaat lepas bukan sahaja untuk membincangkan keadaan kewangan tetapi juga langkah yang boleh diambil untuk menjamin masa depan peneroka.
“Kami berharap ini akan menjamin masa depan peneroka dan institusi Felda,” katanya sambil menambah peneroka akan dimasukkan dalam cadangan baharu.
Azmin berkata Felda perlu mencontohi syarikat minyak sawit swasta lain yang memperoleh keuntungan besar.
“Syarikat swasta berjaya mendapat keuntungan dengan menggunakan teknologi baru untuk menguruskan tanaman dan ladang. Persoalannya, mengapa Felda tidak mencatatkan keuntungan ini?
“Kita perlu mencari cara untuk mencapai ekonomi dalam skala ini.”
Pembentangan kertas putih, yang dijadualkan pada 10 Disember 2018, ditangguhkan semasa pertemuan terakhir di Parlimen atas nasihat Pejabat Peguam Negara kerana terdapat isu undang-undang tertentu yang perlu diselesaikan. – 9 April, 2019.