Tutup sekolah tahfiz tanpa kelulusan, kata bekas ketua polis negara
Iklan
SEKOLAH tahfiz di seluruh negara yang tidak mempunyai kelulusan perlu ditutup dengan segara bagi mengelakkan kebakaran seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini, kata bekas ketua polis negara.
Abdul Rahim Noor berkata kerajaan perlu bertegas dalam isu ini agar kejadian yang meragut nyawa 23 orang yang berlaku hari ini tidak berulang .
“Tidak boleh tunggu lagi, pihak berkuasa mesti bertindak segara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sekiranya didapati mana-mana sekolah tahfiz yang memohon kelulusan tetapi nampak seperti tidak boleh diluluskan, tolak permohonan itu dengan segera.”
Rahim merupakan ketua polis negara dari 1994 hingga 1999 mengulas kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Qu’ran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal hari ini yang meragut 23 nyawa.
Rahim berkata pada masa depan kerajaan atau agensi terlibat perlu mengetatkan lagi undang-undang bagi menubuhkan sekolah tahfiz swasta.
“Janganlah terlalu mudah seperti masa lepas. Mana-mana sekolah tahfiz yang sedang berjalan tetapi tidak mempunyai kelulusan perlu diambil tindakan.
“Pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat itu juga perlu dikenakan tindakan,” katanya.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pusat tahfiz yang terbakar di Keramat hari ini tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain sudah diubah suai daripada struktur asal.
Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak Darul Quran Ittifaqiyah, bulan lepas namun masih belum diluluskan.
Rahim berkata mengikut pengalamannya semasa berkhidmat begitu lama dengan pasukan polis dulu, di Malaysia ini sudah terdapat terlalu banyak peraturan dan undang-undang dalam semua hal.
“Tetapi isu utamanya ialah pematuhan kepada undang-undang. Saya jamin, 200% kebakaran berlaku di negara ini disebabkan undang-undang berkenaan dengan keselamatan tidak dipatuhi.
“Tangisan saja tidak mencukupi dan tidak akan mengembalikan nyawa kanak-kanak yang terkorban itu.
“Sayang sekali kanak-kanak yang masih segar itu terkorban disebabkan kecuaian pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Menurut maklumat jabatan bomba, kebanyakan mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dipercayai berumur antara 13 dan 17 tahun. Enam mangsa berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur, tiga daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian pada jam 5:52 pagi menyifatkan kebakaran itu sebagai “marak”, dan ia berjaya dikawal dalam masa 25 minit. 15 mayat kemudiannya ditemui di tingkat tiga bangunan itu.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan di sekolah agama persendirian dan tidak berdaftar dan melaporkan sudah berlaku 211 kes kebakaran di institusi jenis itu sejak 2015.
Pada 16 Ogos lalu, 16 orang termasuk lapan murid terselamat dalam kebakaran yang juga berlaku awal pagi di sebuah sekolah tahfiz di Baling, Kedah.
Terdapat 519 sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara setakat April tahun ini, tetapi banyak lagi dipercayai beroperasi tanpa berdaftar dengan pihak berkuasa. – 14 September, 2017.