Iklan

SPR tidak boleh bertindak terhadap salah guna kuasa semasa pilihan raya

Timothy Achariam6 years ago9th Apr 2019Berita
Azhar azizan harun feb 16 2019
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata hanya mahkamah sahaja yang boleh mengambil sebarang tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa semasa mana-mana pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019.
Iklan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengulangi ia tidak boleh bertindak terhadap sebarang tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata mahkamah sahaja yang boleh mengambil sebarang tindakan.

“Saya sudah katakan sejak hari pertama di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, apa yang saya katakan adalah tidak relevan, saya bukan hakim atau juri. Tiada proses bagi saya untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa pengundian awal PRK Rantau di balai polis hari ini.

Azhar berkata orang ramai mempunyai kuasa untuk bertindak berhubung kesalahan pilihan raya kerana boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Azhar mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang membayangkan ketika berkempen di Kuala Sawah pada Sabtu bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin melibatkan Negeri Sembilan.

Lim berkata ini bergantung kepada rundingan antara Daim Zainuddin dan Beijing dan sama ada mereka boleh mengurangkan kos ECRL kepada RM36 bilion.

Azhar berkata Lim mungkin mengatakan kenyataan dibuat bukan untuk memberi sokongan kepada PRK kerana beliau adalah wakil kerajaan.

“Individu itu juga harus menjelaskan pengumuman itu adalah untuk kebaikan seluruh negeri, dan bukan semata-mata untuk penduduk Rantau,” katanya.

Beliau berkata tidak mahu memberi komen lanjut untuk mempengaruhi pengundi.

“Saya hanya boleh menasihati calon agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya.

PRK Rantau akan diadakan pada 13 April. Ia akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dan dua calon bebas - R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. –  9 April, 2019.

Iklan
Iklan