23 terkorban tetapi apa pengajarannya?
Iklan
HANYA beberapa jam selepas berlakunya sebuah tragedi besar seperti kebakaran di pusat tahfiz di Lembah Klang hari ini, kita mendengar semua ini: tuding-menuding mencari salah, suara orang marah-marah dan gesaan supaya diambil tindakan tegas.
Kemudiannya nanti, masa berlalu. Satu lagi kebakaran berlaku. Atau mungkin bencana. Atau satu lagi kes pukul. Kitaran itu pun berputar lagi. Inilah yang berlaku di Malaysia setiap kali ada kejadian yang memakan korban.
Dua puluh satu pelajar dan dua guru tahfiz hari ini terbunuh dalam kebakaran sebelum Subuh di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Pada Mac lepas, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddaf meninggal dunia beberapa hari selepas dipukul. Pihak berkuasa bagaimanapun mengatakan kematiannya berpunca akibat leptospirosis (jangkitan kencing tikus).
Ceritanya, ada orang yang mati kerana api dan penyakit, yang semuanya boleh dielak sekiranya ada langkah berjaga-jaga.
Tetapi dan keghairahan untuk membina, menyediakan dan barangkali membuat untung, orang tidak lagi nampak suatu hal yang paling berharga – nyawa. Kesihatan dan keselamatan hal yang mustahak.
Tidak ada sesiapa yang mengirimkan anak mereka ke sekolah hanya untuk kemudian menyambutnya pulang berbalut kafan.
Apabila ini berlaku, maknanya pihak berkuasa tidak tahu atau tutup mata sebelah, pihak yang menguruskan sekolah atau bangunan mengabaikan langkah-langkah penting dalam memastikan keselamatan pelajar, warden, guru dan ahli keluarga.
Malaysia mempunyai tatacara keselamatan bangunan dan kebakaran. Tidak ada sesiapa patut dibenarkan menukarkan rumah menjadi sebuah sekolah dengan begitu saja. Ada peraturan dan undang-undang yang mengawal selia soal penggunaan bangunan.
Persoalannya bagaimana sebuah sekolah boleh beroperasi dengan jeriji keselamatan dan hanya satu pintu masuk dan keluar? Apakah tidak ada lagi sesiapa yang peduli? Pihak berkuasa mengatakan pelan bangunan pusat tahfiz itu masih belum diluluskan dan strukturnya kini berbeza daripada pelan yang dikemukakan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pelan yang dikemukakan oleh pengusaha pusat tahfiz itu sepatutnya “berkonsep terbuka” dengan dua tangga kecemasan manakala lantai atasnya tidak berdinding.
Tetapi apa yang beliau lihat di tempat kejadian tidak sama dengan pelan.
“Mereka belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba. Bomba sepatutnya memeriksa sekolah sebelum mengeluarkan sijil perakuan siap dan pematuhan,” katanya.
Persoalannya mudah, sama seperti dengan kematian tragik, Mohamad Thaqif. Siapa yang mengawal sekolah-sekolah ini? Bolehkah sesiapa membuka sekolah agama tanpa kelulusan sukatan mata pelajaran, tenaga pengajar dan bangunan sekolah serta asrama?
Atau kita serahkan segala-galanya kepada takdir?
Kalau itu halnya, rakyat Malaysia lebih baik saja buka kelas di tepi lebuh raya kerana udaranya segar dan ada lampu jalan pada waktu malam, dan berdoalah tidak ada kenderaan yang terbabas dan menghentam.
Kerajaan yang memerintah ada tanggungjawab untuk memastikan semua undang-undang yang ada dipatuhi, sepatuh-patuhnya. Kalau ia boleh mengawal Internet dan memburu pengkritik yang menyuarakan pandangan, ia tentu juga boleh mengawal sekolah tahfiz untuk memastikan tahap keselamatan yang asas dipatuhi.
Kita boleh menyesali apa yang berlaku tetapi kita boleh terus-menerus dengan menyatakan kekesalan sahaja. Angka kematian akibat kebakaran dan kejadian seperti ini menunjukkan tidak ada apa yang telah dilakukan untuk memastikan ia tidak berulang.
Negara moden tidak sepatutnya ada angka kematian yang tinggi akibat kebakaran, tidak Britain yang menyaksikan 80 terbunuh dalam kebakaran di Grenfell Tower pada Jun lepas dan tentunya tidak Malaysia yang kehilangan 23 warganya hari ini.
Pendek kata, tidak ada alasan untuk mewajarkan kematian ini. – 14 September, 2017.