Sabah ‘terlepas peluang’ jadi rakan setara Malaysia, kata Shafie
Iklan
RAKYAT Sabah terlepas peluang menuntut semula status setara negeri itu dalam Persekutuan Malaysia selepas Putrajaya gagal dalam pindaan Perlembagaan malam tadi, kata Ketua Menteri Shafie Apdal.
Semalam, Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal menerima majoriti dua pertiga dewan- kurang 10 undi- apabila hanya 138 bersetuju, dan 59 wakil rakyat lagi memilih untuk tidak mengundi.
“Apa yang lebih menyedihkan saya, rang undang-undang itu sudah ada dan kita ada peluang untuk luluskannya,” kata Shafie kepada wartawan selepas tiba di Kota Kinabalu hari ini.
“Kita sudah buat yang termampu. Saya juga habiskan masa untuk berjumpa ahli Parlimen lain meminta supaya tidak menambah apa yang sudah dipersetujui pada 1963.
“Hari ini, kita sebenarnya sudah boleh jadi satu daripada tiga (rakan setara Malaysia).”
Tambahnya, “perjuangan masih belum berakhir” untuk usaha Sabah menuntut hak negeri itu.
Shafie berkata isu setara Sabah sudah terlalu lama, mengambil masa 56 tahun untuk dibawa ke Parlimen.
“Ini adalah langkah pertama, dan kita tak boleh buat. Untuk kembalikan (status setara) bukanlah susah,” katanya.
“Kita hanya mahu sahkan semula apa yang termaktub pada 1963 dan letakkan ia balik dalam Perlembagaan.”
Katanya lagi, hanya perdana menteri boleh memutuskan untuk membentangkan pindaan Perlembagaan seterusnya, dan berharap ia akan dilakukan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
“Tun M tahu banyak perkara ketika pembentukan, saya dengar dia berucap dan soalan diberikan kepadanya tentang 1957 dan dia mampu jelaskan.
“Dia ada dalam Parlimen pada 1957. Dia ada pengalaman banyak untuk pastikan (kembalikan status setara) ini berjaya dilakukan,” katanya. – 10 April, 2019.