Putrajaya sasar 5 tahun untuk pulihkan Felda

Iklan
FELDA boleh pulih dan mendapatkan keyakinan peneroka dalam tempoh lima tahun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata hari ini selepas membentangkan kertas putih agensi pembangunan tanah itu di Parlimen.
“Lima tahun adalah sasaran kami,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen.
“Mudah-mudahan, dengan pengurusan dan kepimpinan baru, kami akan dapat kembali kepercayaan peneroka dan mengkukuhkan kedudukan Felda.
Ketika membentangkan kertas putih tadi, Azmin berkata Putrajaya memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda daripada masalah kewangan “kritikal” yang bermula semasa pentadbiran Najib Razak.
Peruntukan itu adalah dalam bentuk pinjaman, geran dan jaminan kerajaan bagi penyusunan semula pinjamannya dan hutang yang diambil oleh peneroka skim tanah.
Ia juga untuk mewujudkan aktiviti pertanian baru bagi anak peneroka.
Azmin berkata kertas putih itu juga meneliti perubahan hala tuju Felda untuk memastikan kemapanannya dan bagi melindungi maruah peneroka.
Beliau berkata Felda akan melihat pelaksanaan komponen produktiviti yang berbeza, seperti perumahan, memotong hutang peneroka, dan latihan kemahiran untuk membantu peneroka menjana pendapatan.
Beliau berkata RM250 juta akan disalurkan untuk membina rumah supaya peneroka generasi kedua boleh kembali ke Felda untuk meningkatkan produktiviti kawasan.
“Kami juga sedang mengkaji mengurangkan beban hutang peneroka dengan membatalkan faedah. Itu akan meningkatkan kuasa ekonomi mereka dalam tempoh tujuh tahun.
“Kami juga meninjau program empat tahun untuk membangunkan sumber pendapatan baru bagi peneroka, dengan dana sebanyak RM250 juta bagi melatih kemahiran dan potensi agar peneroka dapat mengurangkan penggantungan kepada kelapa sawit.”
Azmin berkata peneroka boleh meneroka bidang pertanian dan penternakan dengan pendekatan terkini seperti perladangan pintar dan pertanian teliti.
“Itulah masa depan peneroka. Oleh itu, dalam tempoh lima tahun, kami berharap Felda boleh kembali menjadi institusi berintegriti, dengan kedudukan kewangan lebih baik,” katanya. – 10 April, 2019.