Sabah, Sarawak terlepas peluang keemasan, kata Liew
Iklan
SABAH dan Sarawak harus menunggu lama sebelum berpeluang meneruskan usaha mengembalikan status setara dalam Persekutuan Malaysia, kata Liew Vui Keong, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu memberitahu The Malaysian Insight kedua-dua negeri itu terlepas peluang untuk “melakukan perkara yang betul” semalam.
“Ia peluang keemasan bagi rakyat Sabah dan Sarawak untuk kembalikan status selepas 43 tahun menunggu.
“Saya tak tahu bilakah peluang seperti itu akan datang lagi. Mungkin lagi 60 tahun.”
Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat malam tadi gagal menerima majoriti dua pertiga dewan - kurang 10 undi- apabila hanya 138 bersetuju, dan 59 wakil rakyat lagi memilih untuk tidak mengundi.
RUU itu memerlukan 148 udi untuk diluluskan.
Menurutnya, tiada RUU baharu akan dibentangkan melainkan 59 ahli Parlimen yang berkecuali semalam memberikan sokongan.
Liew berkata beliau secara peribadi bertemu dengan ahli-ahli Parlimen dan menyerahkan draf pertama RUU tersebut sebulan sebelum ia dibentang untuk bacaan kali pertama pada Khamis.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen dari Sarawak ialah istilah “mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)“dimasukkan ke dalam pindaan. – 10 April, 2019.