Pelantikan MB Johor perlu ikut perlembagaan, kata Anwar
Iklan
PELANTIKAN menteri besar Johor perlu dilakukan menurut perlembagaan yang menyatakan parti dengan majoriti akan menentukan calon jawatan itu, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata nama calon akan dihantar kepada Sultan untuk melantik menteri besar.
“Keputusan itu perlu selaras dengan perlembagaan. Calon akan dipilih oleh parti yang ada majoriti dan diberikan kepada Sultan untuk perkenan,” katanya.
“Perlembagaan jelas. Calon perlulah seseorang yang ada sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri,” katanya selepas berkempen di Rantau malam tadi.
“Kerana itulah (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) kata yang nama sudah dihantar dan ia daripada Bersatu yang ada sokongan majoriti tetapi sekarang perkenan Sultan masih tak dapat,” katanya.
Apabila ditanya tentang nama yang dihantar, Anwar meminta wartawan supaya bertanya kepada Dr Mahathir kerana beliau sendiri masih menunggu bakal pengganti Osman Sapian.
“Awak perlu tanya Dr Mahathir. Calon perlu dapat perkenan Sultan (Johor). Baginda masih tak perkenan sebab sedang bercuti,” katanya.
Rabu lalu, Dr Mahathir berkata kuasa memilih pengganti Osman terletak pada parti pemerintah dan bukannya Sultan.
Kenyataan itu dikeluarkannya untuk menjawab tweet Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang berkata Osman digantikan atas titah ayahndanya Sultan Ibrahim Iskandar yang berkuasa melantik ketua kerajaan Johor. – 12 April, 2019.