Iklan

PRK Rantau saksi pertembungan dua ketua parti

Timothy AchariamSM Amin6 years ago12th Apr 2019Berita
Rantau by election bn 20190411 hasnoor 020
Pemangku presiden Umno yang juga calon BN bagi PRK rantau, Mohamad Hasan memeluk Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang turut berkempen untuknya malam semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 April, 2019.
Iklan

DENGAN tinggal kurang 24 jam sebelum pengundi memilih di Rantau, pilihan raya kecil (PRK) itu dilihat lebih daripada sekadar pertarungan antara dua calon terkuat – Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram.

Sebaliknya, sepanjang dua minggu kempen tidak henti-henti diadakan menunjukkan ia satu ujian kekuatan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Mohamad yang juga pemangku presiden Umno.

Dalam semua ceramahnya, Anwar secara konsisten menyerang Mohamad, yang mesra dikenali sebagai Tok Mat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadiri ceramah hampir setiap malam untuk cuba mendapatkan sokongan untuk Streram dan dirinya sendiri, memfokuskan kebanyakan perhatiannya meraih sokongan India dan Melayu.

Daripada 20,925 pengundi di Rantau, Melayu terdiri daripad 55.11% atau 11,283, Cina (18.8% atau 3,849) dan India (26.06% atau 5,336) di 14 daerah mengundi.

Sementara pengundi Melayu di kawasan pedalaman secara tradisionalnya mengundi BN, Anwar dan PH berharap kesetiaan sebahagian daripada mereka beralih ke kerajaan pemerintah, dan pada masa sama mengekalkan sokongan daripada bukan Melayu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim secara konsisten menyerang calon BN Mohamad Hasan, yang mesra dikenali sebagai Tok Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2019.

Kepada pengundi India, Anwar menjanjikan pembangunan dan peluang pekerjaan, sementara kepada Melayu, beliau berulang kali menekankan bahawa kedudukan istimewa Melayu dan Islam di negara ini tidak terjejas.

Tetapi walaupun orang ramai menyorak kepada Anwar, kebanyakan penganalisis dan ahli akademik berkata Mohamad masih pilihan kegemaran untuk menang kerana beliau penyandang dan tokoh popular di Rantau.

“Walaupun PKR letak calon India, tidak automatik pengundi India akan sokong dia, atau Cina sekalipun,” kata Pengarah Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shamsul Amri Baharuddin.

“Ini kerana Tok Mat wakil rakyat Rantau untuk tempoh yang lama dan beliau dianggap sebagai seorang yang berkhidmat dengan baik,” katanya.

Kakitangan SPR melakukan persediaan sebelum pengundi di Rantau keluar mengundi esok. PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon terkuatnya, Mohamad Hasan dari BN dan calon PH, Dr S Streram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 April, 2019.

Semalam, Ilham Centre melaporkan kaji selidik mereka terhadap 396 pengundi Rantau mendapati Mohamad mungkin menang kerana bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dilihat sebagai calon yang lebih baik.

Bagaimanapun, pensyarah kanan di Perdana Centre, Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata kemenangan BN tidak mudah seperti di PRK Semenyih bulan lalu.

Katanya, untuk menang selesa di Rantau, BN perlu menyasarkan peratusan tinggi pengundi keluar mengundi.

“Peluangnya seri, jika PH dapat 13% hingga 15% undi Melayu dan kekalkan undi Cina dan India, PH boleh menang tipis. Jumlah keluar mengundi akan mempengaruhi keputusan itu.

“Realiti di kawasan luar bandar seperti Rantau ialah sokongan Melayu sangat kuat dengan BN. Sentimen Melayu dan Islam sangat berkesan. Jika PH boleh tarik sedikit sokongan, mereka ada peluang,” katanya.

Mazlan berkata fenomena “Malu Apa Bossku” dibawa Najib Razak juga memainkan peranan kecil yang ketara di Rantau, sama seperti di Semenyih dan Cameron Highlands, di mana kedua-dua PRK itu dimenangi oleh BN. – 12 April, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan