Perubahan ECRL bukan untuk pancing undi di Rantau, kata menteri
Iklan
PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan semula bukan untuk memancing undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Pengumuman untuk mengubah haluan bagi ECRL bukan dibuat untuk PRK ini kerana perbincangan (dengan China) dijalankan sejak tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam program ceramah di Rantau, malam tadi.
Loke berkata perubahan laluan itu akan membolehkan lebih banyak negeri menerima kesannya dan mendapat manfaat daripada pembangunan berkenaan terutama kawasan luar bandar Negeri Sembilan seperti Jelebu dan Kuala Klawang.
Duta khas perdana menteri, Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan ECRL dengan China, berkata laluan 688km itu perlu dipendekkan.
Beliau berkata jajaran itu tidak perlu melalui Gombak. Jajaran baharu ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.
Loke di depan kira-kira 1,000 orang yang menghadiri ceramah malam tadi berkata perubahan laluan itu juga bagi mengelak pembinaan terowong 18km di tengah Banjaran Titiwangsa.
“Sebelum ini hanya empat negeri akan menerima kesan daripada ECRL, tetapi kini lima negeri,” katanya.
Loke berkata kerajaan juga dapat menjimatkan RM21.5 bilion untuk projek itu.
“Bajet untuk Negeri Sembilan ialah RM400 juta setahun, ini bermakna jumlah yang dapat dijimatkan itu mampu menampung Negeri Sembilan selama 50 tahun,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion. – 13 April, 2019.