PH Sabah akan pertahan kerusi Sandakan, kata timbalan ketua menteri
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) Sabah akan berusaha memenangi kerusi Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, kata Christina Liew.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, PH Sabah perlu bekerja keras kerana ada beberapa pihak juga mahu merebut kerusi itu.
“Kita akan berusaha membantu calon PH daripada DAP Sabah memenangi kerusi itu.
“Saya akan mengetuai pasukan PKR terdiri daripada ahli di seluruh negeri di hari penamaan calon dan presiden parti, Anwar Ibrahim juga akan datang selepas itu,” katanya.
Liew ditemui ketika perbincangan panel Kepimpinan Wanita di sebuah hotel di sini.
Difahamkan PAS Sabah, Parti Bersatu Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah telah menyatakan minat mereka dan berkemungkinan meletakkan calon dalam pilihan raya akan datang.
Kerusi Sandakan kosong selepas ahli Parlimen Stephen Wong meninggal dunia akibat serangan jantung.
Wong juga merupakan pengerusi DAP Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April sementara undian awal dan hari mengundi pada 7 serta 11 Mei.
Ketika ditanya mengenai siapa yang akan menjadi calon PH, Liew tidak memberitahu siapa tetapi mengatakan DAP Sabah sudah mempunyai calonnya.
Calon yang dilihat bakal bertanding pada kerusi itu ialah anak perempuan Wong, Vivian Wong, 30, yang bekerja rapat dengan ayahnya sebagai pegawai perhubungan awam di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah.
Sementara itu, Liew menyatakan bahawa dia yakin DAP Sabah akan mengekalkan kerusi di Persekutuan.
Wong mengekalkan kerusi Sandakan pada PRU14 apabila dia memperoleh 19,094 undi berbanding Lim Ming Hoo daripada Barisan Nasional yang memperoleh 8,996 undi. – 13 April, 2019.