Iklan

Jawatankuasa khas negeri semak hutang Putrajaya kepada Sabah, Shafie 

Jason Santos6 years ago15th Apr 2019Berita
Heart borneo004 copy (2)
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, untuk mengetahui kutipan kerajaan persekutuan dan untuk tentukan jumlah yang boleh dituntut oleh negeri akan mengambil masa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2019
Iklan

SABAH kini sedang mengira semula berapa banyakk kerajaan persekutuan berhutang dengan negeri berkenaan dalam bentuk pemberian khas dan pengembalian cukai, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal. 

Tambahnya, Putrajaya ingkar dalam pembayaran 40% hak pendapatan Sabah sejak 1974. 

Beliau memaklumkan Dewan Undangan Negeri yang jawatankuasa berkenaan ditubuhkan untuk audit kutipan cukai dan duti. 

Shafie juga berkata, kajian perlu dibuat bagi menentukan berapa banyak pendapatan yang dikutip oleh kerajaan persekutuan daripada Sabah kerana kebanyakan kutipan dibuat oleh agensi persekutuan.

“Untuk mengetahui pendapatan negeri yang dikutip kerajaan persekutuan akan mengambil masa dan untuk tentukan jumlah yang boleh dituntut oleh negeri. 

“Bagaimanapun, kami mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan pelbagai jawatankuasa bagi mengira berapa banyak yang telah mereka kutip,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu hari ini. 

Shafie menjawab soalan daripada Adun Tambunan Jeffrey Kitingan sama ada kerajaan negeri yang diterajui Warisan menemui cara untuk mengutip pemberian khas wajib untuk negeri ini. 

Terdahulu, Jeffrey mencadangkan kerajaan negeri mengambil alih semua kerja-kerja kutipan dan memberikan Putrajaya 60% sebagaimana yang dipersetujui dalam perlembagaan. 

Tidak seperti royalti minyak, pemberian khas termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan menjadi kewajipan untuk kerajaan persekutuan membayar kembali 40% kepada Sabah. 

Berdasarkan rekod bayaran, kerajaan persekutuan gagal membuat bayaran pendapatan tahunan itu sejak 1974.

Kerajaan persekutuan juga gagal dalam semakan semula pemberian hak itu sebagaimana yang diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.

Alasan yang diberikan kerajaan persekutuan ketika enggan menjalankan semakan dan membuat bayaran adalah “persekutuan bukan dalam kedudukan kewangan untuk membuat semakan.”

Shafie juga berkata negeri juga mempunyai pilihan untuk membuat cukainya sendiri bagi menjana pendapatan sendiri.

Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Sabah meminda Undang Undang Tanah Sabah Ordinan 68 yang membenarkan kerajaan negeri mengutip cukai mineral daripada dasar laut dan tanah, dan juga meluluskan pindaan untuk menganggap hak wilayah sehingga rak benua tahun lepas. – 15 April, 2019
 

Iklan
Iklan