Iklan

LANGSUNG: Pemeriksaan balas saksi ketiga bersambung esok

Bede HongTimothy Achariam6 years ago16th Apr 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 3 06
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi. Perbicaraan kes SRC International memasuki hari ketiga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari ketiga hari ini dengan penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghani menyambung keterangannya.

Azizul, saksi kedua perbicaraan memberi keterangan semalam bahawa lapan dokumen dari serbuan di sebuah cawangan AmBank di Kuala Lumpur telah dirampas lebih tiga tahun lalu.

Daripada lapan dokumen itu, empat berkait dengan akaun dibuka oleh Najib, tiga oleh SRC International dan satu oleh anak syarikat SRC International Gadingan Mentari. Kesemua akaun dibuka di antara 2011 dan 2015.

Azizul juga mengenal pasti pengurus AmBank R Uma Devi yang menyerahkan dokumen berkenaan dan pegawai penyiasat bank pusat Ahmad Farhan Sharifuffin.

Ahmad telah melantik Azizul pada 6 Julai 2015 untuk menjalankan carian dan rampasan.

Saksi pertama perbicaraan, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaluddin Abdullah telah memberi keterangan semalam bahawa Najib merupakan salah seorang pengarah di Yayasan Rakyat 1Malaysia, sebuah yayasan di bawah SRC International.

Najib bersama mantan pengerusi 1MDB, Lodin Wok Kamaruddin dan Ahmad Shihab Wan Ismail dilantik sebagai pengarah pada 11 Januari 2013.

Akmaludin di bawah pemeriksaan balas oleh peguam bela juga mengesahkan Azlin Alias yang merupakan pegawai khas Najib untuk urusan ekonomi merupakan pengarah Yayasan Rakyat 1Malaysia sebelum beliau meninggal dunia dalam kemalangan helicopter di Semenyih pada 4 April 2015 yang turut mengorbankan bekas menteri, Jamaluddin Jarjis.

Pendakwaan yang diketuai oleh peguam negara Tommy Thomas dijangka memanggil saksi lain dari bank pusat hari ini. – 16 April, 2019.

The Malaysian Insight membawakan perbicaraan ini secara langsung:

5pm: Perbicaraan bersambung esok.

4.51pm: Pasukan petugas yang ditanya diterajui oleh anggota polis, SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia. Nizam berkata dokumen yang dirampasnya adalah untuk pasukan petugas ini.

Harvinderjit: Awak tahu siapa dalam pasukan petugas itu?

Nizam: Saya tak pasti.

Harvinderjit: Tetapi saya pasti awak tahu kerana ini kali pertama mengeluarkan notis terhadap perdana menteri?

Nizam: Secara amnya, saya tahu.

4.38pm: Shafee memohon untuk menyambung pemeriksaan balas pada pagi esok. Hakim menolak dengan alasan terlalu awal untuk tangguh perbicaraan hari ini.

4.37pm: Nizam memberitahu mahkamah dokumen-dokumen itu berkaitan tiga akaun yang diserah kepada SPRM. Suhaimi merumuskan pemeriksaan balasnya.

4.32pm: Nizam sambung beri keterangan. Beliau memberitahu mahkamah beberapa wakil pasukan petugas yang tidak dikenali datang ke pejabatnya untuk memeriksa dan membuat salinan dokumen. Katanya, salinan asal dokumen tersebut diserahkan kepada SPRM pada Jun 2018.

4.23pm: Najib tiba dan mengambil tempat di kandang tertuduh sambil memegang minuman.

4.22pm: Hakim masuk kamar. Isu penandaan selesai. Shafee menyedari Najib tiada di kandang tertuduh dan bertanya kepada salah seorang peguamnya. Mahkamah menunggu Najib sebelum perbicaraan disambung semula.

4.17pm: Prosiding berhenti sebentar sementara pihak pendakwa berbincang mengenai pelabelan beberapa dokumen.

Mereka menanda semula dokumen.

3.55pm: Nizam berkata beliau ditugaskan menyampaikan notis di bawah Seksyen 37 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kepada Affin Bank Sdn Bhd bagi tujuan mendapatkan dokumen perbankan yang berkaitan dengan akaun milik Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Menurutnya, beliau pergi ke ibu pejabat Affin Bank di Jalan Raja Chulan untuk memberi notis kepada pegawai, Limah Sharifah Hamid.

Dokumen yang diperoleh termasuk borang pembukaan akaun dengan dokumen sokongan, tiga akaun semasa, borang kesesuaian pelanggan untuk tiga akaun semasa, dan penyata akaun serta dokumen berkaitan dengan pautan ke tiga akaun, antara lain.

3.24pm: Azizul berundur selepas disoal.

Saksi perbicaraan ketiga, penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara, Mohd Nizam Yahya, 39, dipanggil. 

Beliau memulakan dengan pemeriksaan balas oleh Suhaimi Ibrahim. 

3.13pm: Azizul berkata beliau tidak bertanya kepada Uma Devi mengenai akaun apabila beliau serahkan dokumen tambahan. Harvinderjit bertanya Azizul sekiranya beliau bertanya Uma mengenai Joanna Yu, yang mengendalikan akaun SRC untuk AmBank, yang mana Azizul menjawab “tidak”.

Azizul kemudian berkata beliau membuat laporan polis berhubung penemuannya di AmBank.

2.50pm: Perbicaraan bersambung semula dengan peguam Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balas terhadap Azizul. Di pihak pendakwaan, Peguam Negara Tommy Thomas tidak hadir di mahkamah kerana mempunyai urusan lain selepas waktu rehat. Pendakwaan diwakili oleh Suhaimi Ibrahim dan V. Sithambaram.

Penyiasat Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai saksi dalam perbicaraan kes Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April 2019.

12.55pm: Mahkamah berhenti rehat selepas menyoal Azizul sama ada dia menerima arahan untuk mendapatkan dokumen bank mengenai urus niaga tertentu antara RM5 juta hingga RM40 juta yang berlaku di antara Disember 2014 dan Februari 2015.

12.47pm: Azizul kemudian berkata, transaksi yang dipersoalkan itu diberikan oleh pengurus AmBank Cawangan Raja Chulan, R Uma Devi tanpa diminta.

11.37am: Harvinderjit bertanya Azizul sama ada beliau meminta transaksi dan akaun khusus ketika serbuan.

Azizul berkata tidak. Harvinderjit kemudian bertanya beliau bagaimana beliau mendapat transaksi yang khusus dari Uma Devi. Azizul berkata beliau tidak pasti. 

“Kamu jelas tidak memberitahu kami cerita sebenarnya,” kata Harvinderjit kepada saksi itu.

11.35am: Mahkamah menyambung perbicaraan.

Harvinderjit bertanya Azizul sama ada beliau diberi taklimat untuk mencari transaksi tertentu berhubung SRC International atau Gandingan Mentari. Azizul berkata beliau tidak ingat.

Harvinderjit kemudian bertanya sama ada beliau tidak ingat atau tidak pasti.

11.20am: Perbicaraan berhenti rehat seketika.

10.27am: Azizul berkata, pasukan kedua adalah dari jabatan siasatan Bank Negara.

10.20am: Harvinderjit bertanya sama ada Azizul teringat jika terdapat mana-mana pegawai SPRM dalam pasukan kedua. Dia berkata dia tidak tahu.

10.15am: Azizul berkata adalah tidak benar dia menunggu untuk memantau pasukan lain. Dia tidak tahu apa arahan yang diberikan oleh pasukan lain.

Bekas presiden dan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini, yang mana bekas ketuanya dibicarakan. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April, 2019.

10.13am: Harvinderjit bertanya, apa yang dilakukannya selepas mendapat dokumen dikehendaki. Azizul berkata, beliau menunggu pasukan lain menamatkan serbuan di pejabat AmBank di Jalan Raja Chulan.

Tambahnya, beliau tidak menerima arahan untuk menunggu.

10.09am: Azizul berkata, dia tidak bertemu mana-mana lembaga utama 1MDB apabila Harvinderjit menyebut nama mereka kepadanya. Beliau berkata, peranannya hanya untuk merampas dokumen.

10.07am: Harviderjit bertanya jika Azizul mengambil nota pada waktu pagi dia diarahkan untuk menyerbu AmBank.

Azizul menjawab dia hanya mengambil maklumat akaun.

Tambahnya, selain nombor akaun beliau tidak diberitahu nama pemegang akaun ketika serbuan dijalankan.

10.05am: Harvinderjit bertanya, ketika mereka merampas dokumen itu, adakah mereka diarahkan untuk mencari dokumen tertentu pada serbuan dijalankan pada 6 Julai.

Azizul menjawab bahawa dia diarahkan mendapatkan semua dokumen yang dilampirkan pada akaun Najib.

10.03am: Harvinderjit memohon maaf kepada mahkamah kerana dia tidak tahu perkataan ‘siezed’ di dalam bahasa Melayu.

10.01am: Azizul berkata, hanya serbuan yang dibuat di AmBank pada 6 Julai 2015 di bawah AMLA melibatkannya. Dia tidak tahu sama ada serbuan itu berada di bawah pasukan petugas khas atau tidak

9.57am: Azizul berkata beliau adalah seorang pegawai siasatan ketika serbuan dijalankan di AmBank. Harvinderjit bertanya apa arahannya ketika serbuan dibuat dan dia berkata dia diminta mencatatkan pemerhatiannya secara bertulis.

9.52am: Harvinderjit bertanya sama ada ia sesuatu yang biasa untuk pegawai penyiasat Bank Negara untuk mencipta graf jejak wang. Azizul berkata, dia tidak tahu.

9.49am: Harvinderjit meminta sama ada borang menyita diperlukan untuk setiap serbuan. Azizul mengesahkan perkara ini.

Dari 2000 hingga 2008, Azizul berkata beliau bekerja di Jabatan Sumber Manusia Bank Negara.

9.47am: Harvinderjit: Selain serbuan, Azizul melakukan serbuan lain? Apa operasi lain?

Azizul: Lebih kurang 10 serbuan pada 2015.

Sejak 2008 hingga 2015, Azizul memberi keterangan bahawa beliau sudah terlibat dalam kira-kira 20 serbuan.

9.45am: Azizul Adzani Abdul Ghafar menyambung keterangannya. Peguam belas Harvinderjit Singh memulakan pemeriksaan balas.

9.43am: Peguam Negara Tommy Thomas meminta maaf atas masalah prosedur dengan menyediakan salinan kepada peguam bela.

9.40am: Perbicaraan bermula.

9.39am: Najib memasuki kandang tertuduh.

Bekas perdana menteri, Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi untuk menghadiri perbicaraan kes SRC International yang memasuki hari ketiga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April, 2019.

Iklan
Iklan