Pertama kali sejak PRU14, Musa Aman hadir sidang DUN Sabah
Iklan
BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman hadir sidang dewan undangan negeri (DUN) hari ini, kali pertama sejak pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.
Musa tidak hadir dua sidang DUN tahun lalu, atas alasan masalah kesihatan.
Adun Sibuga itu tiba di bangunan DUN jam 9.30 pagi, beberapa minit selepas ketibaan pesaingnya yang juga ketua menteri sekarang, Mohd Shafie Apdal.
Musa, yang 15 tahun yang menjadi ketua menteri Sabah berjalan menggunakan tongkat, memasuki bangunan DUN di mana beliau disambut oleh rakan pembangkang, termasuk Adun Kiulu Joniston Bangkuai daripada Parti Bersatu Sabah dan Adun Tambunan Jeffrey Kitingan daripada Parti Solidariti Tanah Airku.
Speaker DUN Syed Abbas Syed Ali sebelum ini dilaporkan memberitahu The Malaysian Insight bahawa Musa tidak menghantar surat memaklumkan ketidakhadiran ke persidangan tahun ini.
Mengikut perlembagaan, Musa perlu menghadiri sesi tahun ini kerana kegagalan menghadiri tiga kali persidangan berturut-turut boleh menyebabkan beliau kehilangan kerusi.
Semalam, beliau tidak hadir ke sidang DUN kerana menghadiri prosiding mahkamah, berkaitan permohonan semakan kehakiman berhubung 16 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya di Kuala Lumpur.
Dalam persidangan hari ini, Musa pantas beraksi sebagai ketua pembangkang negeri, mengambil alih daripada Jeffrey.
Jeffrey yang memegang jawatan itu ketika ketidakhadiran Musa, mengalu-alukan Musa di Dewan.
Musa yang kini satu-satunya wakil Umno dalam DUN Sabah selepas Adun lain keluar parti dan menyertai Bersatu, turut mengemukakan beberapa soalan kepada menteri pada sesi soal jawab.
Beliau turut menyoal Shafie berhubung penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin dan sama ada ia masih dilaksanakan di bawah kerajaan negeri pimpinan Warisan.
Dalam jawapannya, Shafie berkata kerajaan pada masa ini berdepan kesukaran menghantar pulang pendatang tanpa dokumen, menambah “bukan mudah” bekerjasama dengan Filipina dan Indonesia berhubung perkara itu.
Musa kemudian meninggalkan bangunan DUN menaiki kereta Jaguar berwarna perak. – 16 April, 2019.