Jika Putrajaya boleh ada kereta api, kenapa tidak Sabah, kata menteri
Iklan
PAKATAN Harapan sepatutnya tidak mempunyai masalah membiayai rancangan kerajaan Sabah untuk membina sistem kereta api berkelajuan tinggi dari Kota Kinabalu ke Kudat, kata Peter Anthony.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata, rakyat Sabah sudah menunggu beberapa dekad untuk mempunyai sistem kereta api lebih baik dan kerajaan yakin ia dapat meningkatkan dana yang mencukupi untuk membina perkhidmatan kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat.
“Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masalah untuk membelanjakan beratus-ratus bilion untuk membangunkan sistem kereta api di semenanjung Malaysia.
“Kami hanya mahu sejumlah kecil. Sekitar RM5.2 bilion untuk menghubungkan Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya dalam sesi soal jawab DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Anthony berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan landasan kereta api akan diperluaskan ke bahagian pedalaman selepas landasan Kudat siap.
Beliau menjawab soalan Adun Sungai Sibuga dan ketua pembangkang Musa Aman yang bertanya sama ada rancangan Sabah untuk membina perkhidmatan kereta api dalam masa tiga tahun akan menjadi kenyataan.
“Saya yakin kerajaan sekarang di bawah Ketua Menteri Shafie Apdal boleh merealisasikan impian ini,” katanya.
Kerajaan Sabah merancang untuk mendapatkan dana melalui tabung sendiri atau melalui geran persekutuan, pinjaman mudah serta penyertaan sektor swasta.
Anthony berkata, Jabatan Keretapi Sabah sedang menyediakan Terma Rujukan (RR) untuk projek kereta api sepanjang 175 kilometer dan proses itu termasuk tinjauan awal laluan dan penyediaan dokumen tender dijangka selesai menjelang akhir tahun ini. – 16 April, 2019.
Berita penuh di sini.