Terbukti Najib tak bersalah dalam siasatan DoJ, kata ahli Parlimen Langkawi
Iklan
KEJAYAAN lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) membuktikan beliau tidak bersalah dalam siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu, kata Ahli Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad.
Ketua Umno Bahagian Langkawi itu berkata, sekiranya Najib bersalah, sudah pasti beliau sudah ditangkap ketika lawatan tiga harinya di AS.
“Terbukti PM tidak ditangkap semasa tiga hari berada di AS.
“Nampaknya PM tak terlibat dalam siasatan DoJ dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” kata Nawawi kepada The Malaysian Insight apabila ditemui di Kompleks Bunga Raya di Sepang, Selangor hari ini.
Nawawi berkata, sekiranya Najib bersalah, sudah pasti Presiden AS Donald Trump tidak akan bertemu dengannya.
“Trump sanggup meluangkan masa bertemu dengan Najib. Dia berikan layanan istimewa kepada Najib.
“Ini akan memberikan impak yang besar dan tuduhan pembangkang selama ini terbukti tidak benar,” katanya.
Menurut Nawawi, kejayaan lawatan Najib ke AS juga membuktikan Malaysia di bawah kepimpinannya berjaya berhubungan rapat dengan negara kuasa besar.
“Sebelum ini China. Sekarang PM berjaya dekatkan Malaysia dengan Amerika.
“Maksudnya Malaysia benar-benar negara berkecuali.
“Kita berkawan dengan China yang mengamalkan komunisme dan Amerika yang mengamalkan demokrasi.
“Sudah tentu Malaysia akan untung, kita boleh jual barang kita seperti minyak sawit kepada China dan Amerika,” katanya.
AS pada Ogos memulakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri dari 1MDB dan menangguhkan tindakan sivil yang difailkan dua tahun lalu bagi merampas hartanah dan pelbagai aset lain bernilai lebih AS$1 bilion.
Media melaporkan dokumen mahkamah yang difailkan oleh DoJ menunjukkan AS sedang mempergiatkan siasatannya di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diselewengkan untuk membeli hartanah mewah dan lukisan serta dilaburkan dalam produksi filem dan banyak lagi.
Pegawai DoJ memohon kepada hakim di Los Angeles untuk menangguhkan prosiding sivil terhadap semua aset berkenaan yang diperoleh oleh ahli kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low,kerana meneruskannya mungkin akan “menjejaskan” kemampuannya mengendalikan siasatan jenayah itu.
Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai atasan dana itu dan sekutunya.
Lebih kurang 300 orang penyokong sudah menunggu Di Kompleks Bunga Raya semenjak 6.00 petang.
Mereka memegang sepanduk bertulis “Hidup PM”, “Hidup Najib”, dan “Kami bangga dengan Najib”.
Terdapat juga sepanduk yang memaparkan gambar pertemuan Najib dan Trump.
Walaupun Najib masih belum sampai dari destinasinya, mereka tetap bersemangat melaungkan “Hidup Najib” dan “Hidup PM”. – 15 September, 2017.