Dr Mahathir bayar berjuta kepada pelobi untuk jumpa Bush, kata Najib
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak menangkis kritikan pembangkang terhadap lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) dan mengatakan Dr Mahathir Mohamad membayar berjuta ringgit kepada pelobi untuk bertemu dengan George Bush.
Najib berkata, semasa menjadi perdana menteri dahulu, Dr Mahathir menggunakan pelobi yang berpengkalan di Hong Kong.
“Waktu dia menjadi perdana menteri, dia nak jumpa Presiden Bush. Dr Mahathir membayar pelobi berjuta-juta ringgit.
“Saya tahu, Zahid Hamidi pun tahu. Dia bermastautin di Hong Kong. Dia datang beberapa kali ke sini,” kata Najib sebaik saja tiba dari lawatannya ke AS di Kompleks Bunga Raya di Sepang, Selangor hari ini.
Semasa masih menjadi perdana menteri pada Mei 2002, Dr Mahathir bertemu Bush di White House dan dikatakan beliau menggunakan khidmat pelobi untuk mendapatkan pertemuan itu.
Menurut Najib, Dr Mahathir menggunakan khidmat bekas timbalan menteri dalam negeri Megat Junid Megat Ayub sebagai perancang utamanya.
“Tahu tuan-tuan macam mana dibayar? Melalui kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kontrak batu arang. Betul Zahid?” kata Najib sambil disambut “betul” oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
“Berjuta-juta dibayar. Kerana apa? Nak sangat jumpa Presiden Bush,” kata Najib dengan nada mengejek.
Najib berkata, walaupun membayar berjuta kepada pelobi, Dr Mahathir tidak mendapat sambutan sehangat yang diterimanya semasa bertemu Presiden AS Donald Trump baru-baru ini.
“Kalau perlu kita akan dedahkan nanti. Janganlah jadi hipokrit. Kutuk pulak lawatan saya ke Amerika Syarikat.
“Saya pergi bukan kerana saya, tapi kerana Malaysia,” katanya.
Najib berkata, sebelum beliau ke AS, banyak cerita yang diwar-warkan pembangkang.
“Ada yang kata, saya tak mungkin dijemput ke Rumah Putih.
“Ada yang kata saya takut pergi ke Amerika Syarikat dan kalau saya pergi saya akan ditangkap.
“Tapi tuan-tuan, Presiden Trump menerima saya dengan sambutan dan pengiktirafan yang di luar dugaan saya sama sekali,” katanya. – 15 September, 2017.