Iklan

Pakatan akhirnya iktiraf 'Permata-Genius' Rosmah, kata Najib

Timothy Achariam6 years ago16th Apr 2019Berita
Najibrosmah 201900320 tmiafif 05
Najib Razak hari ini berkata tindakan Putrajaya menukar nama program gagasan isterinya, Rosmah Mansor daripada Permata kepada Genius adalah pengakuan program itu bermanfaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2019.
Iklan

WALAUPUN nama diubah, Putrajaya akhirnya mengiktiraf manfaat Permata yang dinaungi isterinya, Rosmah Mansor, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, perubahan nama Permata kepada Genius tidak penting.

“Nama bagi saya tidak penting. Apa yang penting bagi saya adalah program tersebut, program Permata jelas sekali dan sengaja dijadikan bahan politik oleh mereka (Pakatan Harapan) sebelum ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini. 

Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, terdapat banyak kritikan dilemparkan kepada program tersebut oleh PH, tetapi sekarang mereka sendiri mengakui manfaat program itu.

Najib turut berterima kasih kepada PH kerana mengakui manfaat program itu kepada generasi masa depan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan penukaran nama Permata kepada Genius dalam usaha penjenamaan semula program kontroversi itu.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa bagaimanapun hari ini mengecam Putrajaya kerana penjenamaan semula itu.

Menurutnya, nama “Genius” tidak menggambarkan intipati program, kerana “Permata” membawa kepercayaan setiap anak adalah berharga dan perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi dirinya.

Selepas 9 Mei 2018, Rosmah meluahkan harapan supaya PH meneruskan Permata.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian berkata yang kerajaan tidak akan membatalkan program tersebut, tetapi ia akan diaudit dan disemak semula. – 16 April, 2019.

Iklan
Iklan