Usaha sama China-Malaysia urus ECRL ancam keselamatan negara, kata Najib
Iklan
MEMBENARKAN penglibatan China dalam pengurusan Projek Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan mengancam keselamatan negara, kata Najib Razak.
“Ini libatkan keselamatan, kerana semua butiran dalaman kita diketahui pihak asing,” katanya, merujuk kepada pengumuman terbaru Putrajaya bahawa pengurusan ECRL akan dikendalikan oleh syarikat usaha sama China-Malaysia.
Beliau menambah yang Malaysia ada kemampuan mengendalikan sistem landasan itu dan tidak perlu bergantung kepada pihak asing.
“Kita ada kemampuan…kerana itulah sebelum ini kita dalam proses melatih pekerja kita (untuk menguruskan ECRL),” katanya kepada wartawan di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas perbicaraan hari ketiga kes SRC International.
Prasarana misalnya mempunyai kemahiran kerana pernah mengenalikan sistem keretapi di Arab Saudi, tambahnya.
“Jadi saya tak nampak mengapa kena ada penglibatan negara asing dalam pengurusan sistem landasan dalam negara ini,” katanya.
Menurutnya, China masih boleh menjadi kontraktor utama dan memberikan nasihat teknikal tentang ECRL.
“Tetapi untuk kendalikan 50% pengurusan, tak perlu,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum mengumumkan yang Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju untuk membentuk syarikat usaha sama untuk mengurus, mengendali dan menyelia ECRL.
Dr Mahathir menjelaskan yang langkah itu akan meringankan beban kewangan ditanggung Malaysia, yang sebelum ini terpaksa menanggung keseluruhan kos operasi dan penyeliaan.
Tambahnya, kerajaan juga yakin dengan penglibatan CCCC ia akan mampu menarik dan merangsang pelaburan-terutama dari China- sepanjang laluan itu.
Syarikat usaha sama itu adalah sebahagian daripada terma baharu diperolehi melalui rundingan semula kos fasa 1 dan dua ECRL yang berjaya mengurangkan kos daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion. – 16 April, 2019.