Iklan

Najib jawab pembelian pesawat semasa melawat Amerika

Amin Iskandar7 years ago15th Sep 2017Berita
Najib razak 061015 003
Najib Razak berkata Malaysia Airlines Berhad (MAB) sudah membuat keputusan untuk melakukan pembelian sejak Julai 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak menjawab kritikan berhubung pembelian pesawat semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS), mengatakan Malaysia Airlines Berhad  (MAB) sudah membuat keputusan untuk melakukan pembelian sejak Julai 2016.

Beliau berkata, perkara itu disahkan semasa pertemuannya dengan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif MAB di Washington baru-baru ini.

“Beli kapal terbang pun nak jadikan isu. Tuan-tuan dan puan-puan MAS ni, kalau nak beli jet komersil ada dua pilihan saja, sama ada Airbus atau Boeing.

“MAS sudah buat keputusan sejak bulan Julai tahun sudah lagi. Nak beli Boeing 737 MAX10,” kata Najib di Kompleks Bunga Raya di Sepang, Selangor.

“Mereka juga nak beli lapan Dreamliners. Tuan-tuan Dreamliners sekarang ini jenis pesawat yang paling canggih di dunia, paling popular di dunia.”

Najib berkata, pembelian pesawat ini bertujuan untuk menjadikan MAB sebagai syarikat terkemuka di dunia.

“Ini keputusan yang dibuat oleh MAS. Saya cuma sampaikan kepada Presiden Donald Trump.

“MAS lah untung. Dia dapat kontrak tapi MAS dapat pesawat-pesawat canggih,” katanya.

Najib berkata, masalah yang dialami syarikat penerbangan itu berpunca daripada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Yang terpaksa kita pulihkan. Siapa swastakan MAS? 

“Lepas tu kerajaan beli balik tiga kali harga pasaran. Siapa punya keputusan? Siapa punya angkara? Sekarang ini kita selamatkan MAS,” kata Najib dengan penuh bersemangat.

Najib baru saja pulang daripada lawatan selama tiga harinya ke AS. Dalam lawatan itu, Najib disambut Presiden AS Donald Trump.

Semalam Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan apakah MAB memerlukan pesawat yang diumumkan Najib untuk dibeli semasa pertemuannya dengan Trump.

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata, tidak berapa lama sebelum ini pada Jun 2016 MAB baru sahaja memberhentikan 6000 pekerja mereka dalam pelan pemulihan syarikat itu. 

Semasa pertemuannya dengan Trump di White House baru-baru ini, Najib membuat tawaran bagi MAB untuk membeli pesawat Boeing berharga AS$10 bilion (RM42 bilion).

Najib berkata Malaysia berniat untuk menambah pesawat Boeing yang akan dibeli Malaysia Airlines.

“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat,” kata Najib. – 15 September, 2017.

Iklan
Iklan