Pelarian ditempatkan di pulau, bukan tanah besar Sabah, kata Shafie
Iklan
PELARIAN dan pendatang yang lari daripada keganasan di selatan Filipina akan ditempatkan di sempadan pulau Sabah, bukan di tanah besar, kata Ketua Menteri Shafie Apdal.
Shafie berkata, negeri itu mungkin berdepan situasi sama pada 1970-an yang mana ribuan pendatang Filipina memasuki negeri berkenaan.
“Apabila berlaku pergolakan di Selatan Filipina pada 1970-an, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengambil peranan untuk membantu mereka, kerajaan Sabah mengazetkan beberapa kawasan untuk PBB.
“Jadi kita perlu pelajari daripada pengalaman lepas dan kami cadangkan penempatan yang jauh dari tanah besar…kami tidak akan benarkan mereka di tanah besar,” katanya kepada pemberita di Sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Terdapat kebimbangan berhubung keselamatan di Selatan Filipina susulan daripada potensi kemungkinan berlaku konflik bersenjata antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).
Pengasas MNLF Nur Misuari memberi amaran perang terhadap pasukan kerajaan jika berlaku federalisme yang dicadangkan.
Shafie berkata, kerajaan negeri masih belum menentukan pulau, beliau menolak penempatan di taman laut Sipadan atau Mantanani untuk sebarang kawasan penempatan semula.
Pada 1970-an, ketika Sabah menerima pelarian, kebanyakan mereka diberikan dokuman IMM13 bagi membenarkan mereka berniaga di negeri ini.
Masalah menjadi semakin rumit apabila terdapat laporan yang mana pendatang ini memperoleh kewarganegaraan melalui cara yang salah. – 17 April, 2019