Iklan

Najib jerkah, tolak anggota polis di luar mahkamah 

Yvonne Lim6 years ago17th Apr 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 4 13-2
Bekas perdana menteri Najib Razak bercakap kepada anggota polis ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 April, 2019
Iklan

NAJIB Razak menolak dan menjerkah pegawai polis yang cuba menghalang seorang remaja daripada mendekatinya di luar mahkamah selepas prosiding tamat hari ini.

Bekas perdana menteri itu menjerit “Biar! Biar dia tanya lah!” kepada anggota polis terbabit, sambil menolak tangannya.

Anggota polis terbabit cuba menarik remaja berkenaan dari Najib dengan memegang bahu dan beg sandangnya.

Najib juga dilihat memegang tangan remaja berkenaan yang berkata: “Datuk Seri,saya hanya nak tanya beberapa soalan.”

Polis berkenaan kemudian akur dan melepaskan remaja terbabit. Remaja berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai pelajar undang-undang dari Ipoh.

Najib segera memohon maaf kepada anggota polis berkenaan dan berkata, “Maafkan saya. Dia nak tanya saya (soalan).” Anggota terbabit kemudian mengangguk.

Remaja berkenaan mendekati Najib untuk bertanya soalan berhubung perbicaraan namun bekas perdana menteri itu memberitahu kepadanya beliau tidak boleh memberi sebarang komen.

“Kita tanya mahkamah. Bukan saya punya kuasa (untuk jawab),” kata Najib sebelum beredar menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam.

Sementara itu, remaja berkenaan ketika bercakap kepada pemberita kemudiannya berkata beliau mahu menghadiri perbicaraan itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kes ini melibatkan wang rakyat. Mengapa saya sebagai anggota masyarakat, perlu melalui banyak prosedur untuk menyaksikan perbicaraan?”

Menurutnya, pada mulanya beliau tidak dibenarkan masuk, namun kemudian berjaya mendapatkan pas daripada pegawai mahkamah untuk masuk ke bilik video.

Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk hari ke empat perbicaraan SRC International. – 17 April, 2019

Iklan
Iklan