Iklan

Dokumen komunikasi antara bank dan individu penting, kata Shafee

Timothy Achariam6 years ago17th Apr 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 4 16
Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, mendapatkan dokumen komunikasi di antara beberapa bank dan 10 individu adalah penting kerana ia dapat membuktikan sama ada Najib Razak terlibat dalam jenayah atau pun tidak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 April, 2019.
Iklan

MENDAPATKAN dokumen komunikasi di antara beberapa bank dan 10 individu adalah penting kerana ia dapat membuktikan Najib Razak tidak mengetahui wang yang masuk ke dalam akaunnya, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

“Komunikasi ini akan menunjukkan sama ada Najib terlibat dalam jenayah atau pun tidak.

“Adakah dia seorang mangsa dan bukan seorang pelaku? Jika dia (memang) disalah erti,” kata Shafee kepada pemberita selepas hari keempat perbicaraan kes SRC International Najib.

Shafee berkata, sebagai perdana menteri, Najib tidak mempunyai masa untuk menguruskan akaunnya dan memberikan tanggungjawab itu kepada pemegang amanah untuk menguruskannya.

“Komunikasi telefon akan menunjukkan sama ada dia adalah sebahagian daripadanya atau pun tidak.

“Kami berharap dapat membuktikan bahawa tiada arahan datang daripada bekas PM, tetapi datang dari orang yang mengaku sebagai dia,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan hari ini bahawa komunikasi yang sebelum ini tidak termasuk sebagai keterangan perlu diterbitkan semula oleh pegawai penyiasat bank pusat Ahmad Farhan Sharifuffin jika saksi itu memilikinya. 

Peguam Najib memohon dokumen komunikasi antara tiga pegawai AmBank- Joanna Yu, Daniel Yu dan Crystal Yap- dan 10 individu lagi.

Mereka ialah Low, bekas CEO dan pengarah SRC International Nik Faisal Nik Ariff Kamil, bekas pengarah Jerome Lee Tak Loong, bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh Choh Heng, bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO SRC International dan presiden Mohammed Azhar Osman Khairuddin, bekas CEO 1MDB Ismee Ismail, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin dan See Yok Peng.

Shafee berkata hanya kerana ada wang masuk ke dalam akaun Najib, tidak bermakna beliau sedar ia satu jenayah.

“Saya dah kata dari hari pertama. Hanya kerana duit masuk ke dalam akaun seseorang, tak bermakna dia sedar wujud jenayah,” kata Shafee.

Katanya, komunikasi antara Joanna dan Jho Low menerusi telefon BlackBerry yang dirampas diceritakan dalam dalam buku “Billion Dollar Whale” dan beberapa laporan Wall Street Journal (WSJ).

“Jika dia (Najib) bukan sebahagian daripadanya…dia bukan dalam lingkungan itu, bagaimana awak boleh kata dia tahu tentang sumber (wang) dan jenayah (yang berlaku)?

“Atas alasan itulah kami mahukan (dokumen) komunikasi,” kata Shafee.

Hari ini di mahkamah, peguam Harvinderjit Singht membacakan petikan buku tersebut, yang mendakwa Yu melatih Jho Low menggunakan BlackBerry untuk berkomunikasi secara sulit.

Dalam buku tersebut, Yu didakwa jadi orang perhubungan Low di AmBank.

Perbicaraan disambung esok jam 9 pagi. – 17 April, 2019.

Iklan
Iklan