Iklan

Tukar nama Genius sebahagian semakan menyeluruh Permata, kata sumber

The Malaysian Insight6 years ago17th Apr 2019Berita
Rosmah mansor tmi 04
Permata diasaskan Rosmah Mansor dikritik kerana operasi tidak telus dan belanja yang terlalu tinggi. Selepas 9 Mei 2018, program itu dipindahkan dari JPM ke Kementerian Pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2019.
Iklan

PENUKARAN nama Program Permata Negara kepada nama baharu Genius adalah sebahagian daripada penjenamaan semula menyeluruh program pendidikan kanak-kanak yang sebelum ini diterajui Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri baru-baru ini, kata sumber, hampir setahun selepas ia memindahkan pelaksanaan program itu dari Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pendidikan.

“Nama baharu itu dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuaratnya tiga atau empat minggu lalu,” kata sumber di Putrajaya, yang maklum tentang keputusan tersebut.

Permata yang dijenamakan semua itu kini diterajui pelaksanaannya oleh Kementerian Pendidikan dengan sokongan enam kementerian lain yang akan bertanggungjawab terhadap segmen tertentu sesuai mengikut bidang kuasa dan fungsi masing-masing.

Enam kementerian lain yang terlibat ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Kesihatan.

“Tujuh kementerian ini sekarang yang akan berbincang menentukan hala tuju semua lapan program Permata,” kata seorang sumber lain.

Sumber kedua menegaskan penjenamaan semula Permata bukan hanya melibatkan pertukaran nama tetapi pelaksanaan program dengan fokus dan hala tuju yang lebih mantap.

“Ini bukan tukar nama Permata jadi Genius semata-mata,” kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan proses pemindahan fungsi program Permata dari Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pendidikan mengambil masa yang agak lama kerana urusan pentadbiran dan tatacara kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa melapor diri bertugas sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada 22 Mei tahun lalu berkata kerajaan akan meneruskan Permata tetapi selepas menyemak pelaksanaannya di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mendedahkan Permata dijenamakan semula dengan nama baharu, Genius, serta akan dilaksanakan dengan beberapa pelan untuk penambahbaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2019.

Seminggu kemudian, Kabinet dalam mesyuaratnya yang kedua pada 30 Mei tahun lalu memutuskan memindahkan penyeliaan program tersebut daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pendidikan.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mendedahkan Permata dijenamakan semula dengan nama baharu, Genius, serta akan dilaksanakan dengan beberapa pelan untuk penambahbaikan.

“Penukaran nama tersebut diputuskan oleh Kabinet untuk memberikan satu jenama baharu, ‘rebranding’ agar ia lebih berdaya saing, bersemangat,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Pengumuman Maszlee mengundang kritikan pembangkang, ahli bahasa dan orang ramai yang umumnya menyelar kerajaan kerana dianggap tidak mengemukakan idea baharu sebaliknya hanya menjenamakan semula program dan dasar pentadbiran Barisan Nasional.

Mereka menyebut contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Klinik 1Malaysia menjadi Klinik Komuniti dan Pusat Komuniti Desa menggantikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Semasa mendedahkan nama baru Permata, Maszlee juga memaklumkan ada beberapa program di bawah Genius yang akan ditugaskan kepada agensi khusus, antaranya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

USIM kini mengendalikan program Permata Insan, yang bertujuan melahirkan cendekiawan yang terasuh dengan ilmu Al-Quran dan Sunnah sejak kecil.

Permata yang diasaskan oleh Rosmah sebelum ini dikritik kerana operasinya yang kurang telus selepas mendapat peruntukan belanjawan kerajaan yang besar.

Melalui Bajet 2018, Permata mendapat tambahan hampir 20%, daripada RM45.3 juta bagi tahun sebelumnya kepada RM54.3 juta.

“Walaupun ada kontroversi, ada usaha besar yang perlu diakui yang telah dilakukan untuk meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak serta mereka yang berbakat dalam pelbagai bidang,” kata sumber.

“Kerajaan akan pastikan hala tuju program ini terus memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja,” tambahnya. – 17 April, 2019.

Iklan
Iklan