LANGSUNG: Tukang paip, pereka kabinet beri keterangan kes Najib
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International membabitkan Najib Razak berlangsung hari kelima hari ini dengan dua saksi penting – pegawai AmBank Badrul Hisham Mohd dan pegawai Bank Affin Nimma Safira Khalid – dijangka memberi keterangan.
Badrul adalah pegawai AmBank yang bertugas di pusat pemprosesan cek antara 1994 hingga 2013. Beliau bekerja di AmBank Islamic yang merupakan pusat penyelesaian pertikaian.
Semua dokumen itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia beberapa minggu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa persekutuan apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.
Nimma ialah pegawai Bank Affin yang menyerahkan dokumen itu kepada saksi ketiga perbicaraan itu, Muhammad Nizam Yahya, seorang pegawai penyiasat di Jabatan Risikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM.
Semalam, pihak pendakwa dan pembela bertikam lidah berhubung pemerolehan dokumen tambahan berkaitan komunikasi antara tiga pengurus hubungan AmBank – Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystle Yap – dan 10 individu, termasuk Low Taek Jho dan beberapa bekas peguam 1Malaysia Development Bhd.
10 Individu itu ialah: Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bekas CEO dan pengarah SRC International Nik Faisal Nik Ariff Kamil, bekas pengarah Jerome Lee Tak Loong, bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh Choh Heng, bekas peguam kanan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO dan presiden SRC International Mohammed Azhar Osman Khairuddin, bekas CEO 1MDB Ismee Ismail, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin dan See Yok Peng.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan komunikasi itu yang sebelum ini tidak dimasukkan sebagai bukti, perlu dikeluarkan semula oleh pegawai penyiasat bank pusat Ahmad Farhan Sharifuddin.
The Malaysian Insight bawakan siaran langsung hari ini:
4.55pm: Mahkamah ditangguhkan kepada jam 9 pagi Isnin.
4.54pm:
Shafee: Adakah pemasangan tangki itu keperluan atau kemewahan?
Zakaria: Ia perlu dilakukan.
Zakaria dibenarkan keluar daripada kandang saksi.
4.51pm:
TPP Saifuddin: Apa yang awak buat dengan cek?
Zakaria: Saya masukkan dalam bank.
Saifuddin: Apa jadi dengan duit itu?
Zakaria: Saya dah habiskan
4.42pm: Zakaria ditunjukkan sekeping invois berjumlah RM56,500 untuk disahkan kepada mahkamah. Beliau juga diminta mengesahkan cek berjumlah sama diberikan kepadanya.
4.40pm: Zakaria berkata syarikatnya adalah panel Syabas sejak 2008, dan menjalankan kerja-kerja penyeliaan, seperti membaiki paip untuk Syabas di Kuala Lumpur dan Gombak.
4.36pm: Saksi seterusnya adalah Zakaria, yang menguruskan syarikat perpaipan, MOZ Malaysia dan menjalankan kerja perpaipan di rumah Najib di Langgak Duta.
Beliau diupah untuk memasang tangki fiber 6,000 liter pada awal 2015, dan caj terakhir diberikan kepada Najib adalah RM56,500.
4.34pm: Zulkarnain tamat beri keterangan.
4.23pm: “Sebaik sahaja saya dapat cek berjumlah RM100,000, saya masukkannya ke dalam akaun saya. Saya tulis nama dan nombor akaun di belakang cek,” kata Zulkarnain.
TPP Saifuddin tanya: Jadi, awak tunaikan cek itu?
Zulkarnain jawab: Kami bekerja untuknya… Jadi, bila dapat duit, kami masukkan dalam bank.
Jawapan itu menyebabkan hadirin dalam mahkamah ketawa.
TPP Saifuddin: Awak ingat awak ke bank mana?
Zulkarnain: Maybank Setia Alam.
Shafee: Awak pernah nampak sebarang khemah atau majlis berlaku ketika awak di sana (di rumah Najib)?
Zulkarnain: Tak pernah…tetapi ada sekali, ada anak yatim datang ke rumah.
Shafee: Bagaimana awak tahu mereka anak yatim?
Zulkarnain: Mereka pakai (jubah) putih.
Jawapannya itu sekali lagi menimbulkan gelak ketawa dalam mahkamah.
Tambah Zulkarnain lagi, beliau menjalankan kerja di rumah Najib pada Ogos 2014.
4.22pm: Zulkarnain berkata beliau hanya bekerja di rumah Najib ketika bekas perdana menteri itu tiada di rumah.
4.18pm: Zulkarnain memberitahu mahkamah yang beliau meletakkan harga “RM234,000 atau RM243,000” untuk projek itu, tetapi tidak ingat angka sebenar. Katanya, kabinet dibinanya adalah untuk menyimpan pakaian, tetapi beliau tidak tahu pakaian siapa.
4.10pm: Zulkarnain memberi keterangan yang beliau diupah untuk membina stor, ruang pantri dan kabinet di rumah Najib di Langgak Duta.
3.53pm: Hakim Nazlan memutuskan yang keterangan saksi relevan kepada pertuduhan pecah amanah mengikut Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dan membenarkan saksi disoal.
“Saya dapati bukti perbelanjaan relevan untuk kes ini.”
3.43pm: Thomas berkata setiap kali pihak pembelaan merasakan ada bukti yang akan menjejaskan kes mereka, bantahan akan dilakukan, dan katanya, ini tidak betul.
“Jika kami tak boleh panggil saksi, kes akan terganggu.”
3.21pm: Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata keterangan saksi akan menunjukkan tertuduh (Najib) mengetahui tentang jenayah yang berlaku.
3.17pm: Shafee berkata di mana wang itu dibelanjakan tidak relevan untuk kes itu, kerana ia hanya melibatkan penerima wang tersebut.
3.14pm: Peguam bela Farhan Read membangkitkan bantahan awal supaya saksi tersebut tidak memberi keterangan. Beliau berhujah yang keterangan Zulqarnain tidak boleh diterima, kerana ia tidak memenuhi syarat ditetapkan Seksyen 5 Akta Keterangan. Farhan berkata pertuduhan ke atas Najib hanya melibatkan tuduhan beliau mengambil wang tersebut, dan bukannya kerana memberi wang, dan kerana itu saksi tidak relevan.
“Saksi tidak dapat menentukan sama ada tertuduh melakukan ‘actus reus dan mens rea’.”
3.08pm: Badrul selesai memberi keterangan. Pereka Zulkarnain Mohamad, 46, daripada ABS Trend Master Sdn Bhd yang menerima RM100,000 daripada akaun Najib, dipanggil memberi keterangan. Beliau adalah saksi keenam pendakwaan. ABS Trend Master adalah syarikat kabinet dapur
2.39pm: Harvinderjit menyambung pemeriksaan balas ke atas Badrul mengenai transaksi melibatkan akaun Najib dengan Ambank.
2.29pm: Mahkamah sambung bersidang dan Sitahmbaram memohon kepada hakim supaya perbicaraan tidak dijalankan esok. Ini kerana pasukan pendakwaan dan pembelaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan, katanya. Shafee bersetuju.
Kedua-dua pihak perlu menghadiri mesyuarat dan Thomas berkata ia penting kerana mereka akan membincangkan mengenai pemisahan kuasa peguam negara dan kerajaan. Kesemua ahli dalam pasukannya perlu hadir, kata Thomas.
12.55pm: Selepas lebih sejam peguam bela Najib menyoal Badrul, mahkamah ditangguhkan untuk rehat tengahari.
11.25am: Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh mula menyoal balas Badrul tentang perkhidmatan pusat pemprosesan cek.
10.25am: Beberapa cek pelbagai tarikh dikeluarkan akaun Najib adalah untuk tujuan antaranya:
* Umno Johor Bharu – RM300,000
* Rumah Penyayang Tun Abdul Razak – RM400,000
* Firma Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak – RM3.5 juta.
* Ihsan Perdana – RM20 juta.
Badrul berkata cek terakhir mempunyai dua tandatangan, menandakan ia dikeluarkan syarikat. Beliau mengesahkan cek bertarikh 12 Disember 2014 dikeluarkan SRC International.
10.12am: Saifuddin mengesahkan cek dan gambar cek dikeluarkan akaun AmBank Najib, 2022011906. Cek itu keseluruhannya berjumlah RM4.1 juta.
10am: Badrul diminta mengesahkan sekeping cek dibuat untuk Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd pada 8 Februari 2015 sebanyak RM300,000.
Katanya, cek itu ditunaikan.
9.40am: Badrul menyatakan yang cek selalunya tamat tempoh selepas enam bulan dan sebarang wang tidak dituntut akan disimpan selama tiga tahun sebelum dipindahkan ke tabung amanah.
Bank Negara memberikan kod cawangan bank- 211- kepada AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
9.30am: Suhaimi bertanyakan kepada Badrul, yang menjelaskan tentang sistem pengesahan digunakan PayNet atau Payments Network Malaysia Sdn Bhd, “orang tengah” untuk pemindahan antara bank.
9.23am: Badrul menjelaskan sistem pemprosesan cek bank, termasuk pengesahan borang dan tandatangan.
9.10am: Mahkamah mula bersidang. Pihak pendakwaan terdiri daripada V. Sithambaram dan Suhaimi Ibrahim. Peguam Negara Tommy Thomas tidak hadir.
8.45am: Najib tiba di mahkamah memakai suit biru gelap. – 18 April, 2019.