Pembangkang Sabah sedang bincang letak calon tunggal untuk PRK Sandakan
Iklan
EMPAT parti pembangkang di Sabah sedang berbincang untuk meletakkan calon tunggal dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini menentang Pakatan Harapan.
Dipercayai yang Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti), Sabah MCA dan Sabah Progressive Party (SAPP) berharap untuk meletakkan calon tunggal dipersetujui bersama untuk menentang calon PH daripada DAP Sabah untuk peluang kemenangan lebih besar.
Solidariti buat masa kini sedang mempertimbangkan untuk meletakkan ahli ekonomi Liew Wean Chee, 50, sebagai calon PRK Sanadakan.
Liew adalah ketua bahagian Solidariti Tanjung Papat tetapi sumber parti memberitahu The Malaysia Insight yang beliau berkemungkinan besar bertanding atas tiket PBS.
Presiden PBS Dr Maximus Ongkili sebelum ini dilaporkan berminat meletakkan calon dalam PRK itu dan sedang menilai situasi akar umbi.
PBS pernah memegang kerusi Parlimen Batu Sapi, dalam daerah Sanadakan sebelum dikalahkan Warisan pada PRU14 lalu.
Kerusi Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Stephen Wong Tien kerana serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Sandakan adalah kubu kuat DAP.
Penamaan calon PRK Sandakan dijadual pada 27 April, pengundian awal pada 7 Mei dan pengundian pada 11 Mei.
PBS dan Solidariti adalah parti dalam Gabungan Bersatu Sabah. Tetapi, Solidariti bersama-sama SAPP dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah juga membentuk Gabungan Sabah.
Hanya MCA Sabah tidak terlibat dalam mana-mana pakatan.
Jeffrey mengesahkan kepimpinan tertinggi parti sedang berbincang tentang calon PRK.
“Kami sedang berbincang untuk meletakkan calon tunggal untuk melawan DAP Sabah.
“Kami sedang mencari pilihan terbaik, yang kami semua ada sekarang. Mungkin semua tak akan bersetuju kerana ada pihak yang hanya cuba menguji (kerjasama politik),” katanya.
Presiden SAPP Yong Teck Lee ketika dihubungi berkata beliau akan mengumumkan sama ada parti itu akan bertanding minggu depan.
Buat masa sekarang, PAS dan Umno Sabah sudah mengumumkan tidak akan meletakkan calon di Sandakan dan akan menyokong calon pembangkang.
DAP Sabah pula sudah mengumumkan akan bertanding mempertahankan kerusi itu, demi menghormati legasi Wong.
Setakat ini, tiga orang sudah meluahkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas iaitu bekas pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah, bekas pengurus syarikat ladang kelapa sawit Chiew Siew Yung dan aktivis Jufadzli Shi Ahmad. – 18 April, 2019.