Sarawak, Putrajaya bergeser isu pindah pejabat pendaftar mahkamah
Iklan
SATU lagi pergeseran perlembagaan dijangka tercetus antara kerajaan Sarawak dan Putrajaya susulan keputusan kerajaan persekutuan untuk memindahkan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, kata bekas Adun PKR.
Bekas Adun Padungan Dominique Ng berkata, pemindahan yang berkuatkuasa 1 Mei itu adalah “jelas satu lagi tindakan tidak berperlembagaan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan kerana tiada petanda yang ketua menteri Sarawak pernah berunding berhubung langkah itu”.
Ng yang merupakan peguam kanan dan turut mengetuai NGO hak asasi negeri berkata, beliau difahamkan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) pernah menyuarakan bantahan mereka apabila dimaklumkan mengenai langkah itu.
Beliau percaya langkah memindahkan pendaftar itu adalah “jelas bermotifkan politik” oleh Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong yang merupakan warga Sabah.
“Ia mungkin untuk menunjukkan siapa yang berkuasa dan memberi tamparan kepada rakyat Sarawak.”
Ahli Parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi kekalahan memalukan kepada Putrajaya di Parlimen baru-baru ini apabila tidak memberi sokongan kepada usul meminda perlembagaan yang memerlukan dua pertiga sokongan ahli Parlimen untuk diluluskan.
Badan perundangan dan masyarakat umum mengetahui pemindahan selepas pekeliling bertarikh 19 April ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Latifah Mohd Tahar tersebar di media sosial.
Ia dilaporkan dihantar ke semua badan perundangan.
Dalam pekeliling itu, Latifah menyatakan Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk pemindahan itu namun tidak menyatakan sekiranya ketua menteri Sabah dan Sarawak atau pemimpin Mahkamah Tinggi dimaklumkan.
Seorang lagi peguam kanan dan bekas Adun DAP Voon Lee Shan turut berkongsi pandangan yang sama.
“Putrajaya hanya cuba menunjukkan kepada kami di Sarawak apa yang mereka boleh lakukan kepada kami sekiranya kami tidak akur atau tutup mulut.
Voon berkata, pemindahan itu seolah olah Putrajaya mengatakan: “Lihat, ini apa yang kami boleh buat kepada kamu”. – 21 April, 2019
Berita penuh di sini.