Iklan

Sabah, Sarawak perlu minta bentuk konfederasi, kata ahli akademik

Jason Santos6 years ago21st Apr 2019Berita
Shad saleem faruqi 241217
Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi mengulas soalan mengenai sama ada pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan tidak penting untuk mendapatkan hak perkongsian sama rata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.
Iklan

USAHA negeri-negeri Borneo untuk mendapatkan hak rakan kongsi dalam persekutuan Malaysia hanya satu kisah dongeng kerana tiada perkara sedemikian dalam perkongsian sama rata dalam sesebuah persekutuan, kata

Profesor Undang-Undang Universiti Malaya itu berkata perkara praktikal yang boleh dibuat untuk Sabah dan Sarawak adalah meminta Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk sebuah konfederasi.

Katanya sebuah konfederasi merujuk kepada perkongsian sama rata memandangkan terdapat tiga wilayah berbeza iaitu Sarawak, Sabah dan Malaya, manakala persekutuan dalam aspek ini merujuk kepada kuasa berpusat.

“Sebagai contoh Quebec di Kanada mempunyai hak istimewa, Mindanao di Filipina mempunyai hak istimewa, Aceh di Indonesia juga mempunyai hak yang sama. Ini digelar sebagai asimetri (hak).

“Jika kita menyatakan bahawa Sabah, Sarah sama seperti Persekutuan Malaya, maka ia bukan persekutuan. Ia lebih konfederasi (Malaysia),” katanya pada satu forum yang dianjurkan kumpulan pemikir, Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Seeds) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai sama ada pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan tidak penting untuk mendapatkan hak perkongsian sama rata.

Shad Saleem merupakan satu daripada panel speaker dalam forum bertajuk “Perkara 1 (2): Bayangan Semula Persekutuan Baharu Malaysia?”.

Berhubung desakan Sarawak untuk meminda Perkara  160 (2), Shad Saleem berkata perkara itu tidak akan memihak kepada Putrajaya.

Beliau berkata banyak perjanjian antarabangsa diluluskan di bawah Persekutuan Malaya pada masa lalu dan dengan meminda Perlembagaan, perjanjian ini akan terbatal dan tidak sah.

Menjawab satu lagi soalan, Shad Saleem berkata Sabah tidak mempunyai hak untuk meninggalkan persekutuan kerana ia tidak boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang mahkamah.

Dalam hal ini, Shad Saleem berpendapat bahawa Sabah dan Sarawak perlu berusaha ke arah memperbaiki hak yang sedia ada.

Beliau berkata pemisahan bukanlah satu pilihan yang baik kerana ini dianggap sebagai pengkhianatan dan boleh menyebabkan perang.

“Singapura dikeluarkan, bukan meninggalkan persekutuan. Apabila menjadi sebahagian persekutuan, anda tidak boleh meninggalkannya melainkan dibenar berbuat demikian seperti Singapura ( pada 1965),” katanya. – 21 April, 2019.
 

Iklan
Iklan