LANGSUNG: Saksi beritahu mahkamah tentang cek daripada Najib
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari keenam dan saksi keempat, pegawai penyiasat Bank Negara Ahmad Farhan Sarifuddin dijangka dipanggil balik memberi keterangan.
Minggu lepas, beliau diarahkan mahkamah untuk mengemukan dokumen tambahan, jika ada, yang memberikan butiran lanjut komunikasi antara pegawai AmBank dengan tokoh utama 1MDB, termasuklah Jho Low.
Peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah minggu lepas memberitahu wartawan yang beliau berharap dokumen komunikasi itu membuktikan Najib tidak memberikan sebarang arahan tentang pemindahan wang dan ia datang daripada orang yang mendakwa menurut arahan Najib.
Pasukan pembelaan berhasrat menghantar dokumen sendiri untuk membuktikan perkara itu sekiranya Farhan gagal mengemukakan dokumen berkenaan, kata Shafee.
Peguam Najib memohon dokumen komunikasi antara tiga pegawai perhubungan AmBank- Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystle Yap- dengan 10 individu.
10 Individu itu ialah: Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bekas CEO dan pengarah SRC International Nik Faisal Nik Ariff Kamil, bekas pengarah Jerome Lee Tak Loong, bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh Choh Heng, bekas peguam kanan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO dan presiden SRC International Mohammed Azhar Osman Khairuddin, bekas CEO 1MDB Ismee Ismail, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin dan See Yok Peng.
Hari ini juga, pihak pendakwaan dijangka menimbulkan bantahan tentang video prosiding mahkamah, yang tular selepas didedahkan minggu lepas.
Bekas pembantu Najib, Isham Jalil, memuatnaik video selama dua minit 12 saat hari kelima perbicaraan Najib di Facebook pada Sabtu lalu, menunjukkan Shafee menyoal siasat saksi.
Polis sudah membuka kertas siasatan mengenai kebocoran rakaman video mahkamah itu. Isham berkata beliau akan memberikan kerjasama.
The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:
5.10pm: Badrul dilepaskan.
Pasukan pertahanan meminta hakim Nazlan untuk memulakan prosiding pada jam 1 petang esok kerana dia mempunyai hal di mahkamah rayuan esok.
Harvinderjit bagaimanapun meminta perbicaraan bermula jam 12 tengah hari dan berkata, lebih ramai saksi penerima wang daripada akaun Najib akan hadir esok.
Nazlan bersetuju dan menangguhkan perbicaraan itu sehingga esok pada jam 12 tengah hari.
4.50pm: Saksi kelima pendakwaan, Badrul Hisham Mohamad kembali memberi keterangan.
Shafee meminta untuk dikecualikan kerana dia mempunyai perkara lain dan Hakim Nazlan membenarkannya.
Badrul Hisham adalah pegawai pemprosesan cek AmBank.
Dia diminta untuk menanda dan mengesahkan cek yang dibuat daripada akaun AmBank Islamic milik Najib.
4.45pm: Manisah berkata, suaminya bekerja dengan Najib selama 24 tahun dan meninggal dunia pada 21 Jun 2013.
Dia berkata, Najib tidak menghadiri pengebumian suaminya, Amiruddin Mohamad.
Manisah dibebaskan oleh mahkamah.
4.40pm: Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa Najib mengambil minat dan perhatian khusus terhadap keluarga anda apabila suami sakit?
Manisah: Ya.
Shafee: Adakah ada janji bahawa jika ada sesuatu yang berlaku kepada suami anda, Najib akan menjamin kebajikan anak anda akan dijaga?
Manisah: Tidak ada janji, tetapi dia memaklumkan akan membantu.
Beliau berkata, dia hanya menggunakan wang itu untuk pendidikan anaknya dan tidak pernah mempunyai hubungan langsung dengan Najib apabila bayaran dibuat.
4.35pm: Shafee berkata, cek diterima pada 2015. Dia juga memberitahu mahkamah bahawa suaminya meninggal dunia pada 2013.
Peguam meminta Manisah sekiranya teringat ada menerima RM9,360 pada 2013 yang diberikan untuk membayar pendidikan anak-anaknya.
4.30pm: Shafee memulakan soal balasnya kepada Manisah.
Shafee: Adakah anda diminta memberi keterangan berhubung kes ini?
Manisah: Tiga kali tahun ini.
Shafee: Siapa pegawai yang mengambil keterangan anda?
Manisah: Saya tak ingat.
4.25pm: Manisah berkata, selepas suaminya meninggal dunia, Najib memberitahunya bahawa dia akan membantu membayar pendidikan dua anaknya.
Najib memberikannya RM13,800 secara keseluruhan.
Katanya, beliau menerima cek daripada ‘Encik Khairul’ yang bekerja di pejabat sama dengan suaminya di Jabatan Perdana Menteri.
Manisah berkata, dia tidak pasti jika cek itu adalah untuk pendidikan anak-anaknya tetapi itu wang yang diterima selepas Najib mengatakan mahu membantu.
Beliau berkata, jumlah itu digunakan untuk membayar pendidikan dan tuisyen anaknya untuk tahun itu.
4.15pm: Manisah berkata, suaminya pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit Najib ketika beliau menjadi menteri pendidikan.
Selepas Najib menjadi timbalan perdana menteri, beliau meminta suaminya bekerja di pejabatnya sehingga memegang jawatan perdana menteri.
Manisah mengatakan suaminya meninggal dunia akibat kanser usus tahap 4 dan Najib ada datang melawat ketika arwah dimasukkan ke hospital Prince Court.
4.10pm: Manisah Othman, 59, dari Jabatan Statistik Malaysia mula memberi keterangan.
Arwah suaminya bekerja di Jabatan Perdana Menteri sebagai pegawai perhubungan di Bousted Holdings sebelum meninggal dunia.
4.05pm: Pasukan pembelaan meminta Hakim Nazlan membiarkan Farhan pulang dan kembali untuk meneruskan soal balas pada Rabu kerana tidak cukup masa.
Shafee berkata, adalah lebih baik diteruskan dengan saksi ‘tidak begitu rumit’ hari ini dan Farhan datang semula di hari lain. Nazlan bersetuju tidak membuat sebarang bangkangan.
4pm: Harvinderjit: Bolehkan anda memberitahu kami sekiranya pendrive dan hard drive mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka dari Daniel Lee, Krystal Yap dan Joanna Yu? Adakah Shuhairizam dapat memberitahu kami tentang apa yang ada pada item?
Farhan: Ya.
Harvinderjit menunjukkan Farhan dua folder emel yang diberikan olehnya kepada mahkamah
Harvinderjit: Bolehkan anda memberitahu saya bahawa ini semua emel yang anda miliki?
Farhan: Ini semua emel surat menyurat yang ditemui berdasarkan pencarian.
3.30pm: Harvinderjit meminta Farhan menghasilkan senarai carian barangan yang dirampas di AmBank pada 6 Julai 2015.
Farhan berkata, beberapa barangan yang dirampas pada hari itu termasuk pendrive 10gb dari Daniel Lee, dua pendrive, satu hard drive 1tb, satu telefon blackberry dan satu Samsung Galaxy 4 yang kesemuanya dirampas dari Joanna Yu ketika serbuan itu.
Katanya, emel diekstrak dari barangan yang disita dan sumber lain. Beliau berkata semua emel yang dirampas ketika serbuan itu diletakkan dalam dua folder.
3.20pm: Pada November 2015, beliau diminta oleh SPRM untuk menyerahkan telefon Blackberry. Telefon itu diserahkan kepada pegawai SPRM Rosli Hussein.
Harvinderjit: Apa yang berlaku kepada telefon Krystle Yap?
Farhan: Saya tidak tahu. Saya tidak pasti.
3.10pm: Pegawai penyiasat BNM Ahmad Farhan Shariffudin mengambil keterangan semula. Katanya, beliau berjaya mendapatkan dua emel daripada laporannya. Rakaman suara dan perbualan telefon tidak dapat diambil.
3pm: Mahkamah diteruskan dengan peguam bela Harvinderjit Singh meneruskan pemeriksaan balas untuk defendan. Saksi Abdul Munir Othman dilepaskan selepas pemeriksaan balasnya.
2.40pm: Mahkamah bermula lebih awal dari yang dijangkakan. Prosiding sepatutnya disambung semula jam 2 petang.
Hakim Nazlan mengambil tempat duduknya. Anak lelaki Shafee, Muhammad Farhan yang merupakan sebahagian daripada defendan Najib memberitahu hakim bahawa mereka lewat kerana ayahnya terlibat dalam kes lain dan meminta maaf. Hakim meninggalkan ruang sidang.
12.30pm: Abdul Munir Othman, pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak memberi keterangan.
Munir berkata beliau menerima cek bernilai RM400,000 selaku pemegang amana. Cek itu dikeluarkan kepadanya.
Wang tersebut digunakan untuk membayar antara lainnya gaji, makanan, kerja penyelenggaran, kos pengangkutan untuk operasi harian rumah tersebut.
Munir berkata beliau meminta wang bila diperlukan.
Beliau menerima cek itu daripada Najib.
12.28pm: Azlin, setiausaha peribadi kanan Najib terbunuh dalam nahas helikopter pada 2015.
Saksi sebelum itu, Talib, diminta mengenal pasti Najib dalam mahkamah.
Beliau kemudian berkata “Apa Malu Bossku” mencetuskan gelak ketawa hadirin termasuk Najib dalam mahkamah.
11.53am: Talib berkata beliau bertemu Azlin, yang menyerahkan sekeping sampul surat dengan cek RM300,000 atas nama Umno Bahagian Johor Baru.
Beliau memasukkan cek itu di Maybank Putrajaya.
11.50am: Talib menerima panggilan telefon daripada allahyarham Azlin Alias untuk datang ke Pejabat PM di Putrajaya untuk ambil cek. Beliau memberitahu Shahrir Samad (ketua Bahagian Umno Johor) yang beliau diarahkan ambil cek itu. Beliau kemudian pergi mengambil cek itu pada Isnin.
11.47am: Talib berkata beliau menerima cek daripada Jabatan Perdana Menteri pada 2015.
11.44am: Abu Talib Alias, setiausaha Umno Bahagian Johor Baru sejak 2013, memberi keterangan.
11.31am: Asmadi memberitahu bahagian itu bahawa beliau mempunyai RM50,000 untuk kegunaan semua program di ibu pejabat bahaian. Dana itu juga digunakan untuk mendapatkan khidmat guru mengendalikan kelas tambahan.
Wang itu tidak secara rasmi dimasukkan ke dalam akaun bahagian, katanya, tetapi digunakan secara telus dan diketahui oleh bahagian bahawa Asmadi mempunyai dana untuk program.
11.17am: Timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi menyoal Asmadi.
Saifuddin: Apa yang anda buat dengan wang itu?
Asmadi: Kami melancarkan program membabitkan sekolah, NGO dan banyak persatuan yang meminta bantuan daripada Umno.
Saifuddin: Ada lagi baki wang itu?
Asmadi: Semua sudah habis.
Shafee kemudian menyoal balas saksi.
11.11am: “Dia beri saya keyakinan dan juga dana untuk membantu bahagian saya dalam bentuk cek,” kata Asmadi kepada mahkamah.
Katanya, beliau menerima RM50,000 dan cek itu dibuat atas nama Asmadi.
Beliau menerima cek itu dalam pertemuan pertama dengan Najib.
11.08am: Ketua Umno Bahagian Padang Serai itu berkata beliau berjumpa sendiri dengan Najib apabila dilantik sebagai ketua bahagian pada 2013.
Katanya, beliau pertama kali berjumpa Najib pada 2014 di ibu pejabat Umno di PWTC untuk membincangkan pengalamannya sebagai ketua bahagian dan rancangan untuk parti berdepan pilihan raya umum.
11.05am: Saksi seterusnya ialah Asmadi Abu Talib, pesara guru yang juga calon BN pada PRU14 untuk DUN Merbau Pulas di Kedah.
11.02am: Mahkamah sambung bersidang
10.45am: Daud selesai beri keterangan selepas 45 minit disoal. Mahkamah berehat lima minit.
10.37am: Tangki air Sri Kayangan boleh bekalkan air kepada 1,000 orang, kata Daud.
Shafee bertanya jika pemasangan menara air itu kemewahan atau keperluan. Daud kata ia satu keperluan.
10.27am: Shafee bertanyakan Daud jika beliau seorang kontraktor kecil.
Daud menjawab ya, beliau hanya ada empat pekerja.
Shafee: Adakah benar yang kediaman rasmi dikenali sebagai Sri Kayangan di Pekan juga adalah ibu pejabat BN Pekan?
Daud: Ya, betul.
10.22am: Shafee mula menyoal balas Daud bertanyakan jika SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ada mengambil keterangannya.
Daud menjawab ya, beliau disoal SPRM pada 2015.
10.16am: Daud berkata beliau menerima bayaran berjumlah RM77,300 untuk kerja-kerja dilakukan di rumah Najib. Beliau dibayar dalam bentuk cek.
Cek itu dikeluarkan oleh akaun AmBank Islamic Najib pada 2015.
10.10am: Kosnya dua tangki itu mencecah RM67,000. Katanya, selain membina menara tangki itu, beliau membuat kerja seliaan lain, seperti menyelia penyaman udara, elektrik dan membaiki atap bocor.
Kos kerja-kerja lain bernilai RM9,450.
10.07am: Daud Muhamad dari Syadilah Enterprise mengambil tempat duduk untuk memberi keterangan.
Syarikat saksi berusia 57 tahun itu di Pekan, Pahang, di mana beliau diarahkan membina dua menara tangki air untuk rumah keluarga Najib di sana.
10am: Pasukan pembelaan menerima dokumen dari Farhan. Peguam bela Harvinderjit Singh memohon masa untuk meneliti dokumen itu. Pendakwa raya bersetuju memanggil saksi seterusnya.
10am: Daud Muhamad, seorang pekerja di Syadilah Enterprise mengambil tempat duduk untuk memberi keterangan.
9.57am: Mengenai isu tersebut, satu laporan polis sudah dibuat, kata hakim.
Mahkamah tidak boleh diputuskan mahkamah buat masa sekarang. Kejadian yang didakwa menghina mahkamah tidak berlaku dalam mahkamah, kata Nazlan.
“Saya ingin mengingatkan kedua-dua pihak supaya patuh dan hormat pada akujanji (mengenai rakaman transkrip mahkamah). Sebarang pelanggaran akan ada akibatnya.”
9.50am: Shafee mencadangkan hakim boleh memberikan arahan memuat naik semua prosiding perbicaraan untuk menghalang “laporan nakal” dibuat wartawan. Ini bagi memastikan tidak ada laporan berat sebelah dibuat terhadap pihak pembelaan.
9.45am: Sithambaram berkata CRT diberikan dengan janji ia akan digunakan untuk memastikan transkrip perbicaraan ditulis dengan tepat dan memastikan perbicaraan adil.
“Awak tak boleh muat naik (ke internet). Ini akujanji (transkrip) CRT diberikan.”
Katanya, semua pihak tertakluk kepada perkara ini. Pihak pembelaan boleh berkongsi video dengan anak guamnya tetapi mereka juga tertakluk akujanji tersebut.
“Kami tak mahu sarkas wujud (mahkamah diperlekeh),” katanya.
9.30am: Shafee mempertahankan kebocoran video itu, berkata tidak salah memberikan rakaman tersebut kepada anak guamnya atau ejen anak guamnya. Ia amalan biasa.
Shafee juga berkata mereka sudah memohon arahan sekatan tetapi pendakwaan membantah. Jika mereka tidak membantah, video itu tidak akan dimuat naik.
Shafee: Kami lebih daripada gembira jika perbicaraan disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Apa kesan buruknya rakaman itu kepada sesiapa? Biar semuanya telus. Biar kes ini jadi keadilan terbuka seperti kes OJ Simpson dan pelari (kes bunuh Oscar Pistorious di Afrika Selatan) yang disiarkan secara langsung kepada orang awam.
(Terma perundangan untuk rakaman adalah transkrip rakaman mahkamah- CRT)
9.25am: Orang awam dan pengguna media sosial perlu diberikan amaran supaya tidak memuat naik rakaman video ini tanpa kebenaran mahkamah kerana ia boleh dianggap menghina mahkamah.
9.20am: Prosiding bermula apabila Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memasuki kamar. Pendakwa raya V Sithambaram membangkitkan isu rakaman video mahkamah yang dimuat naik ke Facebook minggu lepas.
Pendakwaan berkata rakaman itu diberikan hanya untuk rujukan dan kegunaan pihak pembelaan dan pendakwa.
Kedua-dua pihak tidak boleh dalam apa jua keadaan menyebarkan, menyalin atau memberikannya kepada pihak ketiga.
9.13am: Prosiding masih belum bermula kerana pihak pembelaan diketuai Muhammad Shafee Abdullah masih belum sampai di mahkamah. Najib berada dalam kamar mahkamah, tetapi duduk di luar tempat tertuduh, sesekali memeriksa telefon bimbitnya sambil berbual dengan orang disebelahnya.
8:51am: Najib tiba di mahkamah. – 22 April, 2019.