Peguam Najib mahu akses Blackberry pengurus AmBank
Iklan
PASUKAN peguam Najib Razak mahu mendapatkan akses kepada telefon Blackberry milik seorang pengurus AmBank yang dipercayai orang kepercayaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.
Pasukan peguam bela dalam perbicaraan SRC International Najib berharap mereka dapat membuktikan yang bekas perdana menteri itu tidak tahu menahu mengenai transaksi melibatkan akaun banknya dan ia dilakukan oleh penama akaunnya.
Pegawai penyiasat Bank Negara, Ahmad Farhan Sharifuddin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menyerahkan telefon Blackberry kepunyaan Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November, 2015.
Ahmad Farhan mengetuai satu daripada tiga pasukan penyiasat untuk menyerbu AmBank pada 6 Julai, 2015. Beliau berkata empat pemacu USB milik Yu dan seorang pengurus, Daniel Lee termasuk pemacu keras 1 terrabyte milik Yu dirampas.
Bank Negara juga merampas telefon Samsung Galaxy 4 kepunyaan Pengurus Perhubungan AmBank Krystle Yap.
Ketika memberi keterangan hari ini, Farhan berkata beliau tidak menyedari sebarang transkrip perbualan di dalam kedua-dua telefon tersebut kerana ia tanggungjawab pakar forensik Bank Negara bernama Shuzairizman Yusof.
Kedua-dua telefon kemudiannya diserahkan kepada Rosli Hussein dari SPRM, kata Farhan.
Beliau juga berkata tidak tahu di mana telefon Yap kini berada.
Mahkamah pada minggu lepas mengarahkan Farhan hadir untuk mendapatkan dokumen lain, jika beliau mempunyainya. Dokumen memperincikan komunikasi antara pegawai-pegawai AmBank dan Jho Low. – 22 April, 2019.