Keputusan rayuan Najib lucut kelayakan hakim tertinggi dibuat 14 Mei
Iklan
MAHKAMAH rayuan akan membuat keputusan mengenai rayuan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap keputusan mahkamah tinggi menolak permohonannya menghalang Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan kes 1Development Berhad (1MDB) sebelum perbicaraan dijadualkan bermula 14 Mei ini.
Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Zabariah Mohd Yusof, Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Lan mendengar keterangan daripada peguam Najib hari ini yang diketuai oleh Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh.
Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib juga memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Najib untuk tidak membenarkan Sri Ram mengetuai pendakwaan.
Harvinderjit memberitahu hakim bahawa rayuan mereka adalah berdasarkan fakta bahawa Sri Ram telah terlibat dalam siasatan 1MDB yang menimbulkan konflik kepentingan.
“Apabila terlibat, beliau tidak boleh menjadi pendakwa raya,” katanya.
Harvinderjit memetik petikan surat pelantikan Sri Ram, wawancara yang dilakukannya dengan portal berbahasa Inggeris, akhbar kewangan berbahasa Inggeris dan kenyataan akhbar yang menceritakan bahawa dia telah terlibat dalam siasatan 1MDB.
“Ketiga-tiga eviden ini membuktikan beliau terlibat dalam siasatan 1MDB. Beliau menyelia siasatan dan DPP tidak boleh menafikannya,” katanya.
Bagaimanapun Akram menafikan bahawa terdapat konflik kepentingan dan mempersoalkan sama ada perkara itu boleh dirayu.
Selepas hampir empat jam, Zabariah berkata, mereka akan membuat keputusan sebelum perbicaraan bermula pada 14 Mei tetapi tidak menetapkan tarikh tertentu.
Pada 1 Mac tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk membatalkan pelantikan Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.
Sequerah juga berpendapat Najib tidak mempunyai hak untuk menuntut surat pelantikan Sri Ram dan menolak permohonan itu untuk menggantung sementara perbicaraan berkenaan.
Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. – 23 April, 2019.