Batal pindah pejabat pendaftar keputusan Badan Kehakiman, kata Liew
Iklan
EMPAT hakim tertinggi negara memutuskan untuk menarik balik keputusan memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Keempat-empat hakim itu adalah presiden Mahkamah Rayuan, ketua hakim besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
“Hari ini saya telah dimaklumkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bahawa penempatan semula Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching Sarawak ke Kota Kinabalu Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1hb Mei 2019, seperti yang dijadualkan sebelum ini.
“Semua pihak yang berkenaan telah dimaklumkan seperti dalam Pekeliling Mahkamah bertarikh 23hb April 2019,” kata Liew dalam satu kenyataan, hari ini.
Liew tidak menyatakan sebab-sebab keputusan tersebut ditarik balik tetapi hanya berkata “sekali lagi keputusan badan kehakiman”, dan bukan keputusan beliau.
Beliau sebelum ini berkata bekas ketua hakim Richard Malanjum yang mahu Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dipindahkan ke Kota Kinabalu selepas Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu siap pada tahun lepas. – 23 April, 2019.