Pembantu Najib keluarkan cek RM2.5 juta pada peguam untuk 'kontrak pertahanan'
Iklan
PEMBANTU kepada Najib Razak mengeluarkan cek bernilai RM2.5 juta kononnya untuk kontrak pertahanan kepada peguam, perbicaraan SRC International Najib Razak didengar hari ini.
Peguam Ashraf Abdul Razak memberi keterangan, beliau menerima cek daripada Habibu Rahman Khadir Shah, yang merupakan akauntan dan pembantu Najib.
Ashraf berkata beliau bekerja dengan firma guaman Zulqarnain and Co, dan cek itu kononnya untuk kontrak pertahanan.
“Ketika saya menjadi rakan kongsi dalam Zulqarnain and Co antara 1996 dan 2017, saya menerima cek RM2.5 juta dari Habibul yang kononnya untuk kontrak pertahanan,” kata saksi kepada mahkamah selepas disoal oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.
Ashraf memberitahu Hakim Nazlan Ghazali yang beliau tidak dimaklumkan dari mana cek itu datang.
“Habibul maklumkan kepada saya terdapat pembayaran dan saya diminta untuk menerima cek bagi kontrak pertahanan,” katanya.
“Saya dipanggil ke rumahnya pada waktu malam dan saya menerima cek RM2.5 juta. Beliau meminta saya terima bayaran itu dan menguruskan wang berkenaan (bagi pihaknya).”
Beliau berkata, satu surat perakuan ditandatangani oleh Habibul bagi bayaran cek itu.
Katanya, beliau mendepositkan cek berkenaan keesokan harinya di cawangan bank CIMB.
Ashraf berkata sebaik sahaja cek berkenaan masuk ke akaun syarikatnya, beliau diarahkan oleh Habibul untuk membuat pembayaran kepada isteri dan anak Habibul.
“Saya ambil RM50,000 untuk yuran guaman dari wang berkenaan dan saya diarahkan untuk buat pembayaran kepada anak dan isterinya.
“Pada peringkat selepas itu, beliau meminta saya keluarkan cek kepada pihak yang dinyatakan, dan juga cek tunai,” katanya.
Apabila ditanya oleh Saifuddin sama ada beliau tahu mengapa Habibul keluarkan ke akaun syarikatnya dan bukan akaun peribadi, peguam berkenaan menjawab tidak.
Ashraf juga memberitahu mahkamah beliau tidak pernah mempersoalkan dari mana wang itu datang kerana Habibul merupakan antara orang dalam dunia korporat.
“Saya tidak pernah tanya dari mana wang itu datang kerana kedudukan Habibul dalam dunia korporat dan kerana saya sudah lama mengenali beliau,” katanya dan menambah beliau pernah membuat urusan perniagaan dengan Habibul dalam Fuelsubs House Sdn Bhd yang menguruskan subsidi minyak.
Katanya, beliau juga tidak tahu wang berkenaan adalah daripada Najib.
Menurut beliau, dalam masa yang sama ketika menerima cek berkenaan, Habibul membawanya untuk bertemu dengan seseorang yang mahu membekalkan kelengkapan ketenteraan.
Berhubung soalan peguam pembelaan Muhammad Shafee Abdullah sekiranya beliau tahu Habibul juga merupakan penganalisis dan penasihat politik, saksi itu menjawab beliau tahu mengenainya.
“Ya saya tahu,” katanya.
Selepas Ashraf, saksi seterusnya Edward Annasi, 57, yang merupakan timbalan pengurus kanan di jabatan pemeriksaan cek CIMB di Plaza Pantai, mengesahkan bahawa cek dari bank AmIslamic telah didepositkan ke akaun CIMB, iaitu cek bernilai RM2.5 juta kepada Zulqarnain & Co. – 24 April, 2019