Pegawai Affin Bank diminta keluarkan bukti pemindahan RM8 juta
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pegawai pemprosesan Affin Bank untuk menyediakan bukti tambahan menunjukkan aliran pemindahan duit RM8 juta yang didakwa daripada SRC International Sdn Bhd.
Rosaiah Rosli, saksi dalam perbicaraan kes SRC melibatkan Najib Razak, diminta memberikan gambar cek yang dikeluarkan oleh Ihsan Perdana pada Disember 2014. Ihsan Perdana menguruskan hal ehwal tanggungjawab sosial korporat SRC.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan gambar cek tersebut, kerana ia adalah sebahagian daripada RM40 juta yang dpindahkan pada 24 Disember 2014 daripada anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana.
Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah yang terdapat cek berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dikeluarkan kepada akaun AmBank milik Najib pada bulan sama daripada Ihsan Perdana, pihak pembelaan ingin mengetahui siapakah penerima duit sebanyak RM8 juta.
Turut dipanggil menjadi saksi hari ini ialah pengurus cawangan AmBank Uma Devi Ragavan yang memberi keterangan mengenai mengenai dua akaun semasa SRC International dan lima penandatangannya.
Mereka ialah Ismee Ismail, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yasin.
Mengikut peraturan syarikat, penandatangan dibahagikan kepada dua kumpulan- satu kumpulan mempunyai tiga orang, satu lagi kumpulan dua orang- kata Uma yang membaca keterangan bertulis.
Beliau juga memberikan keterangan tentang tiga transaksi berjumlah RM500 juta setiap satu yang masuk ke dalam akaun SRC International pada 2011. – 24 April, 2019.