Najib ada 5 akaun AmBank dari 2011 hingga 2015, kata saksi
Iklan
NAJIB Razak telah membuka dan menutup lima akaun berasingan dengan AmBank di cawangan Raja Chulan antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015, perbicaraan SRC International Najib Razak didengar hari ini.
Saksi R Uma Devi yang merupakan pengurus cawangan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas perdana menteri itu telah membuka empat akaun semasa dan akaun simpanan sepanjang tempoh berkenaan.
Ditanya oleh DPP Suhaimi Ibrahim, saksi mengatakan akaun simpanan itu dibuka pada 18 Januari 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.
Salah satu akaun semasa dibuka pada 13 Januari 2011 dan tiga lagi pada 31 Julai 2013.
Beliau juga berkata, akaun semasa pertama ditutup pada 30 Ogos 2013 manakala tiga lagi akaun ditutup pada 9 Mac 2015.
Beliau kemudian mengesahkan dua akaun – satu simpanan dan satu lagi mempunyai baki bank masing-masing sebanyak RM12,436,711.83 dan RM82.63 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.
Uma juga berkata, cawangan bank itu telah menerima surat daripada Najib untuk membenarkan Nik Faisal Ariff Kamil mengendalikan tiga akaunnya.
“Nik Faisal telah diberi kuasa untuk mengendalikan buku cek menerusi surat diberikan kepada pengurus cawangan AmBank,” katanya.
Beliau berkata, anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd juga membuka akaun semasa di AmBank cawangan Raja Chulan pada 23 Julai 2014 di mana Nik Faisal dan Suboh Md Yassin merupakan penandatangan yang sah untuk akaun itu.
Katanya, Gandingan Mentari berdasarkan penyata akaunnya untuk tempoh antara 23 Julai dan 16 Ogos 2015 telah menerima tiga pemindahan wang daripada SRC International.
Tiga urus niaga tersebut dibuat pada 24 Disember 2014 untuk RM40 juta serta RM5 juta pada 5 dan 6 Februari 2015. Arahan pemindahan ditandatangani oleh Nik Faisal dan Suboh.
Uma Devi berkata, penyata akaun Gandingan Mentari dalam tempoh sama juga menunjukkan syarikat itu telah memindahkan RM40 juta kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 24 Disember 2014.
Ihsan Perdana merupakan anak syarikat SRC International.
Beliau juga berkata, pengurus hubungan AmBank Krystle Yap menghantar emel bertarikh 24 Disember 2014 meminta cawangan mematuhi surat arahan SRC International untuk memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari.
Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan salah satu penyalahgunaan kuasa terhadap dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan berkenaan. – 24 April, 2019