RM3.28 juta wang akaun Najib diguna bayar 2 kad kredit
Iklan
LEBIH RM3 juta dipindahkan daripada akaun AmBank bekas perdana menteri Najib Razak pada 11 Ogos 2014 untuk membayar dua kad kredit, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Pengurus AmBank R Uma Devi yang membaca kenyataan bertulis, memberi keterangan yang arahan debit dihantar untuk pemindahan RM449,586.95 daripada akaun Najib kepada kad kredit Visa.
Baki RM2,833,147.21 pula dikreditkan ke dalam kad kredit Mastercard Platinum atas arahan bekas pengarah SRC International dan CEO Nik Faisal Ariff Kamil.
Uma Devi sebelum itu memberitahu mahkamah yang Najib mempunyai lima akaun AmBank dan memberikan kuasa pengurusan tiga akaun tersebut kepada Nik Faisal termasuklah pengurusan buku cek.
Bagaimanapun, Uma Devi tidak mendedahkan nama pemilik dua kad kredit yang dibayar menggunakan wang daripada akaun Najib.
Najib duduk di kendang tertuduh manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan itu.
Bekas presiden Umno yang berpakaian coklat diwakili peguamnya Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas yang muncul untuk pendengaran pada tengah hari memulakan pendakwaan.
Dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan 3 April lalu, Thomas berkata pihak pendakwa berhasrat memberikan bukti bahawa pada Disember 2014, kad kredit Najib dikenakan US$ 130,625 (kira-kira RM456,000) untuk perbelanjaan yang dibuat di Chanel, sebuah kedai fesyen eksklusif di Honolulu.
Uma yang membaca kenyataan 130 muka surat akan kembali semula esok untuk memberikan keterangan.
Hari ini, dia memberi keterangan bahawa Najib telah membuka dan menutup lima akaun AmBank di cawangan Raja Chulan di Kuala Lumpur antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015.
Beliau menambah, pegawai perhubungan AmBank Krystle Yap telah menghantar emel bertarikh 24 Disember meminta cawangan untuk mematuhi surat arahan daripada SRC International untuk memindahkan RM40 juta kepada Gandingan Mentari.
Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan salah satu penyalahgunaan kuasa terhadap dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.
Perbicaraan ditangguhkan dan bersambung esok. – 24 April, 2019.